SANDAKAN – Kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya di Sabah semakin menurun setiap tahun sejak tiga tahun lepas.
Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Bobby Suan berkata pada 2015 kadar kematian berjumlah 392 kes diikuti 379 kes pada 2016 dan 351 kes pada tahun lepas.
Sekiranya penurunan ini kekal sehingga berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina pada bulan ini ia menunjukkan program kesedaran yang telah dilaksanakan sehingga kini telah berjaya, katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Keselamatan Pengguna Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina peringkat negeri di sini, hari ini.
Menurutnya kadar kematian dicatatkan ketika Ops Tahun Baru Cina pada tahun lepas berjumlah 257 kes berbanding 279 kes pada 2016.
Bobby yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Sabah berkata pihaknya mengharapkan agar aspek kecederaan parah dan kematian pada tahun ini berbanding tahun lalu dapat terus diminimumkan.
Katanya ia boleh dicapai melalui perubahan sikap pengguna jalan raya dan pendekatan pendidikan melalui kempen yang melibatkan pelbagai pihak, penguatkuasaan serta sokongan pengguna jalan raya. – BERNAMA