HANYA kerana gurauan panggilan ‘sayang’, Syamel telah digosipkan kononnya sedang hangat bercinta bersama dengan rakan baiknya, Ernie Zakri.
Kita mungkin sudah terbiasa apabila panggilan ‘sayang’ sahaja, pasti akan dikaitkan dengan pasangan bercinta.
Mereka dikatakan mula rapat selepas bergandingan menerusi pertandingan Duo Star pada tahun lalu dan lebih rapat setelah berduet bersama menerusi lagu Aku Cinta.

“Orang mungkin terdengar saya panggil Ernie ‘sayang’ dan macam-macam orang boleh cakap.
“Jujurnya kami tak bercinta pun dan panggilan itu sekadar gurauan kerana dia adalah sahabat baik saya.
“Terus-terang terkejut juga saya apabila gosip mengenai perkara itu keluar memandangkan tiada apa yang berlaku di antara kami,” katanya dipetik daripada mStar Online.

Dalam masa yang sama, hubungan persahabatan antara Syamel dan Ernie juga turut telah direstui oleh keluarga masing-masing.
Malah, sebab utama gosip itu timbul ialah apabila sebuah akhbar tempatan telah mendakwa bahawa mereka sedang hangat bercinta apabila panggilan ‘sayang’ itu keluar daripada mulut Syamel.
Bagi Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 35, jika benar mereka sedang bercinta, pasti mereka tidak akan menyembunyikannya daripada pengetahuan peminat.

“Kami memang berkawan baik…kalau betul bercinta saya terus-terang tetapi ia tidak berlaku.
“Buat masa ini fokus saya nak kumpul duit beli kereta, beli rumah dan untuk itu saya tiada masa bercinta kerana bimbang konsentrasi terganggu,” ujarnya lagi.
Namun, Erni pula telah menyela dakwaan kononnya keluarga merestui hubungan mereka kerana tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh keluarganya.

Nur Erni Shahirah Zakri, 26, atau dikenali sebagai Erni berasa sedikit terkilan kerana gosip tersebut dengan sewenang-wenangnya mengheret nama keluarganya sekali.
“Saya dan keluarga tidak pernah beri kenyataan apa-apa. Apatah lagi kenyataan direstui itu. Saya manusia biasa yang ada keluarga, ibu dan bapa.
“Perasaan mereka sangat kecewa sebab mereka pun tidak pernah bercerita dekat sesiapa mengenai hubungan saya dan Syamel. Tiba-tiba keluar pula gosip macam itu.
“Keluarga saya dan Syamel memang tahu hubungan kami sekadar baik sebagai rakan satu industri dan di luar,” katanya pula.

Mereka berdua juga sedang giat menjalani sesi latihan terakhir sebelum menghadapi pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) pada Ahad ini.
“Saya harap semua peminat doa yang baik-baik untuk AJL akan datang ini sebab itu kami punyai matlamat lebih penting sekarang.
“Buat masa sekarang saya tak nak tambah isu yang lain dalam kepala dan nak fokus pada lagu taruhan kami,” tambahnya lagi.

Lagu Aku Cinta telah berjaya melayakkan pasangan duo itu berentap di pentas akhir bersama 11 lagi lagu lain.
Selain itu, lagi bertajuk Lebih Sempurna nyanyian Syamel turut tercalon pada kali ini. – MYNEWSHUB.CC/AH

