BINTULU – Seramai 252 penghuni dari 36 pintu sebuah rumah panjang di Jalan Sebauh Pandan, Bintulu hilang tempat tinggal dalam kebakaran malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Mohd Meramit berkata bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran rumah panjang tersebut yang dikenali Rumah Nyipak kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
“Bomba menerima panggilan pada 9.32 malam tadi dan kebakaran dipercayai bermula dari pintu nombor sembilan rumah panjang tersebut,” katanya hari ini.
Mohd berkata punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.
Untuk rekod jumlah keseluruhan penghuni di Rumah Nyipak ialah 406 orang dari 63 pintu dengan 27 pintu berjaya diselamatkan oleh bomba dalam kebakaran tersebut. – BERNAMA

