PEKAN – Rumah baharu bagi menggantikan rumah mangsa banjir yang hanyut dan musnah sama sekali akibat bencana itu dijangka disiapkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan telah pun menerima cadangan model dan bentuk rumah kekal berkenaan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerja-kerja pembinaan kediaman itu mungkin dimulakan minggu depan.
“InsyaAllah pada minggu depan semua senarai pemilik rumah akan dimuktamadkan. JKR kata dalam masa tiga bulan boleh disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan misi bantuan pasca banjir Kementerian Wilayah Persekutuan di Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Bukit Kenau, di sini hari ini.
Ali berkata JKR juga akan meneliti kapasiti yang dimiliki mereka dan sekiranya memerlukan bantuan daripada agensi lain atau kerajaan negeri, perkara tersebut dilihat tidak menjadi masalah.
Bagi kediaman yang mengalami kerosakan ketika banjir, beliau berkata kerja-kerja membaiki rumah tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Baru-baru ini, Kabinet bersetuju membina rumah kekal berharga RM48,000 setiap unit khusus untuk mangsa terjejas banjir yang rumah mereka musnah sama sekali.
Kerajaan juga bersetuju agar rumah-rumah mangsa banjir yang mengalami kerosakan dapat dibantu pada kadar antara RM5,000 dan RM10,000 bagi setiap rumah.
“Kerajaan akan membantu mangsa banjir secara berterusan di mana aspek pertama yang kita bantu adalah rakyat termasuk sara diri, kesihatan dan makanan untuk mereka.
“Selepas rakyat, baru kita pergi kepada perumahan rakyat dan yang terakhir membaiki infrastruktur, apa pun rakyat yang perlu didahulukan,” kata Ali.
Pada program itu, Ali menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di 10 buah kampung sekitar kawasan Parlimen Pekan. – BERNAMA