JITRA – Program Usahawan Bergerak atau MobilePreneur@KKLW merupakan antara inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang membuktikan kerajaan tidak pernah pejam mata dalam membantu golongan belia luar bandar mendapatkan pekerjaan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejak diperkenalkan pada 2016, seramai 3,500 usahawan telah dilahirkan, dengan sasaran 1,000 lagi pada tahun ini, membabitkan peruntukan RM10 juta.
“Seramai 86.2 peratus usahawan berjaya meningkatkan 30 peratus pendapatan mereka dengan purata RM534 (sebulan). Ini menjadikan pendapatan mereka meningkat kepada kira-kira RM2,000 dalam lingkungan RM1,300 hingga RM1,500 sebulan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Mobilepreneur Peringkat Negeri Kedah dan Perlis kepada 76 peserta di Dewan Jitra di sini hari ini, yang turut dihadiri Anggota Parlimen Kubang Pasu Datuk Seri Mohd Johari Baharum.
Mobilepreneur@KKLW adalah inisiatif bagi membantu golongan belia luar bandar yang mempunyai kemahiran menjalankan perniagaan atau perkhidmatan dengan modal permulaan rendah, tanpa perlu membuka atau menyewa premis perniagaan.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata kejayaan program tersebut juga mampu menangkis dakwaan bekas pemimpin sebelum ini yang memperlekehkan golongan muda, khususnya graduan yang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak dan menjalankan khidmat Uber.
“Kalau dulu orang keluar universiti harap kerja kerajaan, tapi sekarang trend anak muda ketika ini adalah berniaga secara dalam talian. Program seperti ini (Mobilepreneur) misalnya, merupakan alternatif dalam mencipta kerjaya buat belia luar bandar.
“Secara tidak langsung, ia dapat mengekalkan tenaga muda berkebolehan untuk membangun dan merancakkan ekonomi luar bandar,” katanya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 60 peserta dari Kedah dan selebihnya dari Perlis menerima bantuan keusahawanan masing-masing.
Ia meliputi pakej keusahawanan iaitu sebuah motosikal yang dipasang kotak peralatan, set peralatan kemahiran dan kursus asas keusahawanan memulakan perniagaan membabitkan peruntukan RM10,000 tiap peserta.
Seorang peserta, Siti Marlina Omar, 40, berkata dengan adanya bantuan tersebut, dia kini boleh bergerak dengan lebih mudah dari rumah ke rumah untuk menghantar dan menerima tempahan menjahit baju.
“Sebelum ini saya tidak mempunyai kenderaan dan kebiasaannya pelanggan akan datang ke rumah saya untuk menghantar tempahan. Tapi kini dengan adanya bantuan ini, saya jangkakan kerja akan menjadi lebih mudah,” katanya yang berasal dari Langgar, Alor Setar. – BERNAMA