KOTA BHARU – Pasukan Kelantan akan menguatkuasakan kod etika bagi meningkatkan disiplin pemain pasukan itu musim ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan membuka tirainya minggu depan.
Pengurus pasukan Kelantan Mohd Yahya Jamada Ali berkata kod etika itu dikuat kuasa bukan untuk mencari kesalahan pemain sebaliknya lebih kepada mendidik pemain agar berdisiplin supaya mutu permainan meningkat.
“Masalah tidur lewat, bangun lewat, antara punca utama dan kita tidak mahu pemain terjebak dengan sikap seperti itu kerana ia boleh menyumbang kepada prestasi buruk pemain sama ada dalam latihan atau perlawanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Skuad kendalian Sathit Bensoh itu akan membuka tirai perlawanan Liga Malaysia menentang Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Hebat, Melaka pada 3 Feb.
Mohd Yahya berkata kod etika itu sudah mendapat persetujuan daripada barisan kejurulatihan Kelantan.
Antara peraturan lain yang diperkenalkan dalam kod etika itu ialah denda akan dikenakan terhadap pemain yang datang lewat dan memakai pakaian latihan berlainan, nilai denda akan berganda jika kesalahan berulang dalam tempoh seminggu itu, katanya.
Mohd Yahya berkata apabila pemain berdisiplin, mereka sudah tentu akan memberikan sepenuh komitmen kepada pasukan untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.
Katanya kejayaan pasukan adalah hasil gabungan pihak pengurusan yang bagus dan komitmen yang tinggi daripada pemain. – BERNAMA