MELAKA – ‘Sungai Melaka International Challenge 2018’ dijangka menarik penyertaan 1,500 peserta dari dalam dan luar negara, kata Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau Melaka Datuk Ghazale Muhamad.
Beliau berkata pertandingan selama dua hari bermula 28 April depan antara lain merupakan insiatif bagi memperkenalkan Sungai Melaka antara venue sukan triathlon, iaitu sukan melibatkan tiga disiplin lasak iaitu berenang, berbasikal dan berlari, bagi semua peringkat umur sama ada amatur ataupun profesional.
“Kami berhasrat mempromosikan sukan melalui sungai yang setelah pemantauan dijalankan kualiti kebersihan sungai kini berada pada tahap selamat untuk melakukan aktiviti riadah oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Justeru orang ramai tidak perlu risau tentang kualiti kebersihan air di Sungai Melaka untuk melakukan sebarang aktiviti riadah,” katanya pada sidang akhbar sempena program itu di sini hari ini.
Ghazale berkata program anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka dengan kerjasama Qaarmal Swimming Centre itu mempunyai lima kategori iaitu individu junior umur enam hingga 13 tahun melibatkan renang sejauh 150m, berbasikal (4km) dan berlari (500m).
Peserta 14 hingga 17 tahun bagi kategori junior individu membabitkan renang (300m), berbasikal (8km) dan berlari (1km); kategori jarak olimpik melibatkan acara renang sejauh 1.5km, berbasikal (36km) dan berlari (10km); relay berpasukan melibatkan renang (1.5km), berbasikal (36km) dan berlari (10km); manakala kategori Fun Run hanya melibatkan larian 4km.
“Acara ini secara tidak langsung menjadi platform bagi menarik kunjungan pelancong tempatan dan luar negara ke Melaka bagi menyaksikan pertandingan yang julung kali diadakan ini,” katanya.
Mereka yang berminat boleh mendaftar dalam talian menerusi www.melakarivercruise.my dan pendaftaran dibuka sehingga 28 Mac depan bagi merebut peluang hadiah keseluruhan yang bernilai lebih RM24,000. – BERNAMA

