BELURAN – Seorang guru maut dan dua yang lain parah dalam nahas jalan raya membabitkan dua kereta di Km17, Jalan Telupid-Beluran malam tadi.
Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham berkata dalam kejadian kira-kira 7.19 malam itu, guru dikenal pasti sebagai Avloure Andrew Alex, 29, maut di tempat kejadian.
Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bum-Bum Semporna dan berasal dari Kampung Mangkaladoi, Tamparuli itu merupakan penumpang sebuah daripada kereta berkenaan, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya pemandu kereta yang dinaiki guru itu, Mohd Erham Titin,30, dan pemandu sebuah lagi kereta Wilkinson Jhonnis, 41, mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan untuk rawatan.
Beliau berkata isteri Wilkinson yang berusia 42 tahun dan anak perempuan mereka berusia 13 tahun hanya mengalami cedera ringan.
Sivanathan berkata kemalangan itu dipercayai berlaku selepas kereta dipandu Mohd Erham dari arah Beluran hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam dan terbabas lalu melanggar kereta dipandu Wilkinson.
Katanya mayat guru itu dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat. – BERNAMA

