KUALA LUMPUR – Chef-de-mission (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Huang Ying How melahirkan keyakinan atlet negara akan menampilkan prestasi cemerlang untuk meraih pingat pada temasya sukan di Australia itu, April ini.
Huang berkata beliau kagum dengan persiapan rapi dilakukan atlet kebangsaan hasil daripada lawatannya ke pusat-pusat latihan sekitar Lembah Klang, sejak beberapa hari lepas.
“Misalnya, walaupun saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk pasukan bola keranjang wanita, mereka sendiri menetapkan sasaran tinggi meraih emas dan semasa saya melawat mereka beberapa hari lepas, mereka kelihatan sangat gigih semasa sesi latihan.
“Semalam, saya berpeluang meninjau persiapan skuad ragbi tujuh sebelah di Universiti Putra Malaysia dan mereka berlatih bersungguh-sungguh dalam keadaan hujan. Saya yakin mereka mampu melakukan yang terbaik pada Sukan Komanwel berdasarkan persiapan rapi dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan skuad skuasy negara di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Mengenai lawatannya hari ini, Huang berkata beliau berpuas hati dengan persiapan dilakukan skuad skuasy negara di bawah bimbingan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mejar (B) S. Maniam.
“Skuasy sentiasa menyumbangkan pingat pada Sukan Komanwel dan saya berharap mereka teruskan momentum tersebut.
“Saya bertemu dengan pemain dan memberitahu mereka terutama yang pertama kali beraksi di Sukan Komanwel agar melakukan yang terbaik dan membuatkan negara bangga,” kata Huang.
Berkongsi pandangan sama adalah Maniam, yang berharap skuad negara diketuai pemain nombor enam dunia, Datuk Nicol David akan dapat meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas.
“Nicol sudah tentu menjadi harapan terbaik kita untuk memenangi pingat emas kerana beliau pernah meraih emas (berturut-turut pada 2010 dan 2014). Pada masa sama, saya berharap pemain lain juga harus menampilkan mentaliti untuk menang dengan melakukan yang terbaik pada Sukan Komanwel.
“Fokus utama kita kini adalah mengenal pasti gandingan terbaik dalam acara beregu bagi memastikan kita dapat meraih pingat pada temasya sukan berkenaan,” kata Maniam.
Acara skuasy pada Sukan Komanwel 2018 akan berlangsung di Oxenford Studios dari 5 hingga 15 April dan mempertandingkan lima kategori – perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran. – BERNAMA