KUALA LUMPUR – Perbadanan Nasional Bhd (PNS) memperuntukkan antara RM30 juta dan RM35 juta tahun ini untuk membiayai usahawan yang berminat menjalankan perniagaan francais.
Pengarah Urusannya Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata jumlah itu sama seperti yang diperuntukkan agensi itu tahun lepas untuk membiayai usahawan francais.
“Kami menjangkakan peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 200 hingga 250 usahawan tahun ini,” katanya pada sidang akhbar mengenai kerjasama strategik PNS dengan pengendali rantaian makanan segera, Marrybrown Sdn Bhd.
Beliau berkata selain pembiayaan sektor francais, PNS juga memperuntukkan RM30 juta untuk pelaburan dalam sektor hartanah.
Sehingga kini, PNS telah mengeluarkan sejumlah RM400 juta untuk sektor francais yang memberi manfaat kepada 1,700 usahawan, dan melabur RM424 juta dalam sektor hartanah, katanya.
Mengenai kerjasama dengan Marrybrown, Syed Kamarulzaman berkata agensi itu akan menawarkan pembiayaan kepada 17 usahawan yang berminat menjadi pemegang francais syarikat berkenaan.
Beliau berkata PNS akan menyediakan purata 70 peratus daripada kos membuka restoran Marrybrown, sebanyak antara RM800,000 dan RM2 juta, bergantung pada saiz dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata syarikat itu merancang membuka 25 cawangan baharu tahun ini, dan akan memperuntukkan 10 cawangan untuk usahawan Bumiputera.
Beliau berkata syarikat itu juga merancang membuka sekurang-kurangnya enam cawangan di luar negara tahun ini, masing-masing di Iran dan Sri Lanka serta tiga di New Zealand.
Liew berkata perjanjian dengan francaisor induk di Iran akan menyaksikan pembukaan sekurang-kurangnya 30 cawangan di negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, di Sri Lanka, beliau berkata francaisor induk dijangka membuka sekurang-kurangnya 10 cawangan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pada masa ini, Marrybrown mempunyai lebih 400 restoran di 15 negara termasuk Malaysia, Singapura, China, India, Maldives dan Indonesia. – BERNAMA