KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) membuka permohonan untuk tujuh projek kediaman di Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Melaka dan Johor bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, rumah itu dijual 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran untuk golongan berpendapatan pertengahan.
“Sejumlah 7,116 unit rumah PR1MA akan dibuka untuk proses permohonan menerusi tujuh projek di Alam Damai, Kuala Lumpur; Bandar Meru Raya, Perak; Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah; Bandar Layangkasa dan Terbrau, Johor serta Melaka Tengah 1.
“Rumah-rumah PR1MA ditawarkan pada harga yang menepati kemampuan dan pada harga yang telah dimandatkan iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran sekitar dan pada masa yang sama berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Mutalib berkata, projek PR1MA tersebut selaras dengan hasrat merealisasikan impian masyarakat Malaysia berpendapatan isirumah antara RM2,500 hingga RM10,000 sebulan memiliki kediaman sendiri.
Justeru, katanya, mereka yang layak diseru membuat permohonan melalui laman web www.pr1ma.my dan tarikh permohonan pada 28 Februari 2015.
“Bagi mereka yang belum berdaftar, mereka diminta mendaftar dahulu di laman web dan seterusnya membuat permohonan. Pendaftaran hanyalah sekali tetapi permohonan boleh di buat lebih dari sekali,” katanya.
