KUALA LUMPUR – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bakal menghantar 10 atlet ke Sukan Komanwel Gold Coast di Australia dari 4 hingga 15 April ini, dengan harapan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya empat pingat pelbagai warna.
Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail berkata berdasarkan ranking semasa, skuad negara yang dibarisi enam atlet lelaki dan empat wanita, dijangka meraih sebutir pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada temasya sukan berkenaan.
Beliau berkata walaupun 12 atlet angkat berat layak ke temasya sukan itu, hanya 10 akan mewakili negara berikutan dua atlet menarik diri kerana lebih mengutamakan komitmen pengajian di peringkat universiti.
“Seorang atlet lelaki, Elisha Louis Tan Kim Ho dan atlet wanita, Frenceay Titus menarik diri kerana komitmen dalam pengajian tahun akhir di universiti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.
Sandaran pingat emas diletakkan ke atas bahu atlet Program Podium, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad bagi kategori 56kg lelaki manakala seorang lagi atlet Program Podium, Mohd Aznil Bidin (62kg lelaki) menjadi sandaran pingat perak, katanya.
Selain Azroy dan Mohd Aznil, PABM menyenaraikan Muhammad Erry Hidayat yang diberi kepercayaan menggantikan Mohd Hafifi Mansor yang digantung sementara berikutan isu doping; Abd Mubin Rahim (77kg), Fazrul Azrie Mohdad (85kg) dan Muhammad Norfarhan Ideris (105kg) bagi kategori lelaki.
Kategori wanita pula dibarisi Sharifah Inani Najwa Syed Anuar bagi kategori 53kg, Marcus Marceeta Marilyn (58kg), Jabriella Toe Samuel (75kg) dan Siti Aisyah Md Rosli (90kg).
Abu Hanapah berkata dua atlet elit berkenaan akan menjalani latihan di Vietnam, manakala lapan atlet senior di bawah MSN, akan mengikuti latihan selama 45 hari di Balikpapan, Indonesia selepas kejohanan pra-Sukan Asia bermula 10 hingga 18 Feb di Jakarta.
Pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Soctland, skuad angkat berat negara meraih sebutir pingat emas dan satu perak, masing-masing menerusi Mohd Hafifi dalam kategori 69kg dan Zulhelmi Md Pisol (56kg).
Sementara itu, mengenai keputusan hukuman doping ke atas Mohd Hafifi, Abu Hanapah berkata PABM masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) setakat ini, dan keputusan rasmi dijangka diperoleh paling awal Februari ini.
“Saya pun dah minta Presiden Datuk Ong Poh Eng untuk mendapatkan keputusan itu. Berdasarkan bahan yang dia kena, hukumannya agak berat tetapi kita harap hukuman itu dikurangkan. Apa pun kita tunggu hukuman rasmi daripada sana.
“Untuk elak isu ini berulang, kita sudah memberi peringatan kepada semua atlet untuk berhati-hati pada setiap masa. Kita akan mengadakan ujian dalaman sebelum Sukan Komanwel, kerana jika kes doping ini berulang di peringkat antarabangsa, PABM mungkin digantung oleh IWF.
“Selain itu, kita juga mengingatkan atlet kita bahawa pegawai perubatan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) akan datang untuk membuat ujian doping pada bila-bila masa. Kini mereka berada di Afrika dan boleh ke sini bila-bila,” katanya.
Mohd Hafifi digantung sementara oleh IWF sejak Oktober lepas selepas didapati positif Oxymetholone, iaitu bahan steroid sintetik anabolik dan androgenik pada Terbuka Australia di Melbourne, Mac tahun lalu. – BERNAMA
