KOTA KINABALU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima 5,807 panggilan kecemasan sepanjang tahun lepas, kata Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan JBPM Mohammad Hamdan Wahid.
Beliau berkata jumlah yang dicatatkan itu menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2016 yang merekodkan sebanyak 7,059 panggilan kecemasan.
“Daripada 5,807 panggilan kecemasan pada tahun lepas, sebanyak 1,717 panggilan adalah berkaitan kes kebakaran dan jumlah itu juga menunjukkan penurunan sebanyak 62 peratus berbanding 4,553 panggilan kebakaran pada tahun 2016,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sabah di sini, hari ini.
Mohammad Hamdan berkata sepanjang tahun lepas, JBPM Sabah merekodkan 18 kematian akibat kebakaran dan ia menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu 19 kematian akibat kebakaran.
“Trend kebakaran dan kehilangan nyawa sudah pasti dapat diminimumkan lagi sekiranya seluruh masyarakat memainkan peranan. Penghayatan dan mengamalkan budaya keselamatan kebakaran terhadap diri sendiri dan institusi keluarga sangat penting untuk mencegah sebarang kebakaran,” katanya.
Mengulas mengenai majlis itu, Mohammad Hamdan berkata seramai 104 anak muda dari seluruh pelusuk Sabah berjaya menamatkan kursus asas kebombaan selama empat bulan setengah.
“Kesemua anggota baharu itu akan ditempatkan untuk mengisi kekosongan di semua negeri di Semenanjung,” katanya. – BERNAMA

