ALOR SETAR – Imigresen Kedah menahan 21 warga asing termasuk tiga wanita dalam Ops Mega yang diadakan bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia di sekitar daerah ini hari ini.
Pengarahnya Zuhair Jamaludin berkata mereka yang ditahan atas pelbagai kesalahan itu merupakan sebahagian daripada 84 pekerja asing pelbagai negara yang diperiksa dalam operasi yang bermula 10.30 pagi di dua tapak pembinaan.
“Pemeriksaan di lokasi pertama kita menahan empat lelaki iaitu masing-masing dua dari Indonesia dan Bangladesh sebelum menahan 17 lagi pekerja asing termasuk tiga wanita dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Thailand di lokasi kedua,” katanya dalam satu kenyataan..
Zuhair berkata kesemua mereka yang ditahan itu berumur 23 hingga 48 tahun dan akan disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di tapak pembinaan itu serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Beliau berkata mereka yang ditahan itu kemudian dibawa ke lokap imigresen di sini sebelum diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik.
Katanya ketika serbuan, kesemua warga asing itu sedang sibuk bekerja dan kebanyakannya tidak sempat melarikan diri.
“Namun beberapa orang pekerja asing yang menyedari kehadiran pihak berkuasa berjaya melarikan diri dengan memasuki kawasan petak sawah berdekatan dan gagal dikesan,” katanya. – BERNAMA

