KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat India berminat untuk meninjau peluang perniagaan selanjutnya di Malaysia, terutama dalam bidang farmaseutikal, tekstil, pemprosesan makanan, petrokimia dan ekonomi digital.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kalangan pengusaha perniagaan itu memaparkan minat untuk meneroka potensi terbabit di negara ini.
“Mereka memberi alasan kemudahan menjalankan perniagaan di sini sebagai salah satu faktor utamanya. Bagi kemajuan masa depan, kita perlu terus mampu menyerlahkan Malaysia (di mata dunia) serta menitikberatkan aspek kesalinghubungan dengan pihak global.
“Kita juga berharap kemudahan yang disediakan kementerian menerusi pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, dapat melonjakkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang terbabit dan membuka pelbagai peluang perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapa berkata, misi perdagangan dan pelaburan kementerian ke India yang berakhir hari ini mencatat kejayaan dan akan terus mengetengahkan Malasia sebagai pintu masuk syarikat India untuk menembusi pasaran ASEAN.
“Misi ke Mumbai amat penting untuk mengekalkan profil kukuh Malaysia di India selain terus memaparkan kejayaan ekonomi negara ini,” katanya.
Mustapa berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan Samarth Life Sciences di Mumbai iaitu syarikat farmaseutikal terkemuka dunia yang berasal dari India.
Malah, syarikat itu menyerahkan surat permohonan bagi cadangan pelaburan bernilai RM200 juta, termasuk tanah di Sungai Petani, Kedah, yang dibeli sebelum ini.
Beliau juga menyifatkan India sebagai rakan dagang penting Malaysia dengan jumlah dagangannya bernilai RM57 bilion bagi tempoh Januari-November 2017 iaitu peningkatan 28 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Di peringkat pelaburan, beliau berkata jumlah pelaburan Malaysia di India mencecah RM17.1 bilion berbanding India yang masih kecil.
Kementerian itu turut memetik Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan India yang mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$2.3 trilion (US$1 = RM3.92) dan berpenduduk 1.3 bilion orang, bakal muncul sebagai ekonomi terpantas dunia sekurang-kurangnya untuk dua tahun akan datang.
“Pertumbuhan KDNK sebenarnya diunjurkan pada 7.5 peratus sehingga 2022, dipacu oleh pengembangan ekonomi dan peningkatan perbelanjaan infrastruktur awam.
“Kerajaan India juga akan memulakan beberapa inisiatif utama seperti ‘Make in India’ yang menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK sebanyak 25 peratus menjelang 2025. Inisiatif lain termasuk Digital India yang bermatlamat mempertingkatkan kesalinghubungan internet dan infrastruktur dalam taliannya merentasi negara itu,” katanya. – BERNAMA