KUALA LUMPUR – Langkah terbaharu Kesatuan Eropah (EU) membabitkan cadangan mengecualikan minyak sawit daripada campuran biobahan api dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021, berpotensi bertentangan dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kerana menjadi perbuatan sengaja menyekat akses komoditi itu ke dalam pasaran blok berkenaan.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia akan memperhebatkan kerjasama dengan negara pengeluar sawit lainnya bagi menimbang usaha lebih bersepadu menyuarakan kebimbangan itu di peringkat pelbagai jawatankuasa WTO.
“Bagi tempoh terdekat ini, kita akan membangkitkan isu itu di Jawatankuasa Sanitari dan Fitosantiasi serta Jawatankuasa Sekatan Teknikal Perdagangan pada Mac 2018 dan seterusnya Jawatankuasa Bagi Akses Pasaran pada April 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mustapa berkata, kementerian itu (MITI) sedang mempengerusikan mesyuarat pakar teknikal daripada ‘Friends of Palm Oil’ (Sahabat Minyak Sawit) di Geneva bagi menilai kemungkinan impak susulan perkembangan terbaharu itu serta meninjau pendekatan dan tindakan selanjutnya.
“Usaha kita akan turut dipertingkatkan bagi menjelaskan persepsi salah berkaitan minyak sawit Malaysia termasuk pelbagai siri ceramah serta dialog tidak rasmi WTO membabitkan isu terbabit pada bulan-bulan akan datang.
“Malaysia juga akan mendapatkan penyelesaian komprehensif melibatkan layanan diskriminasi terhadap biobahan api berasaskan minyak sawit berbanding biobahan api lain daripada hasil pertanian lain menerusi rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-EU yang kita harap dapat dilancarkan semula pada tahun ini selain cadangan FTA ASEAN-EU,” katanya.
Beliau berkata MITI juga akan meneruskan kerjasama erat dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk merancakkan penglibatan dengan negara-negara EU.
“Kita akan meneruskan perjuangan bagi penyelesaian yang adil dan terbaik demi kepentingan pengeksport dan pekebun kecil minyak sawit negara ini,” katanya.
Mustapa turut menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai bukti jelas diskriminasi terhadap negara-negara pengeluar minyak sawit.
“Ia merupakan langkah regresif yang hanya menyemarakkan lagi ketidaktentuan membabitkan dagangan global. Ketika semakin banyak negara mengamalkan dasar perlindungan, ramai yang berharap EU sebaliknya mempamerkan kepimpinan sewajarnya bagi menegakkan prinsip perdagangan yang adil serta saksama,” katanya.
Jelas Mustapa, Malaysia yang juga sebuah negara dagangan kecil melihat tindakan EU itu sebagai perkembangan yang membimbangkan selain amalan pelabelan oleh sektor swasta di EU yang tidak adil serta boleh menjejaskan kehidupan lebih 650,000 pekebun kecil minyak sawit negara ini.
“Saya menggesa sektor swasta Eropah agar (bertindak) lebih adil dan tidak dipengaruhi oleh undian Parlimen EU serta sentimen negatif terhadap hasil minyak sawit kita. Semua fakta perlulah digunakan bagi menyangkal tuduhan tidak berasas dalam isu ini,” katanya.
Malaysia adalah pengeksport kedua terbesar minyak sawit dunia dan sejumlah 15.2 peratus daripada jumlah eksport komoditi itu yang bernilai RM10.3 bilion dihantar ke EU pada 2016. – BERNAMA