PENYANYI kesayangan nusantara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan penubuhan tabung kebajikan Sitizoner sempena ulang tahun ke-14 kelab peminatnya.
Tujuan utama tabung tersebut diwujudkan adalah untuk membantu ahli kelab peminatnya yang ditimpa musibah atau kesusahan, kata Siti, 39.
“Tabung ini dilancarkan pada hari ini sempena ulang tahun kelab peminat saya, Sitizoner. Penubuhan tabung itu bertujuan untuk membantu ahli kelab yang ditimpa musibah atau kesusahan.
“Insya-Allah ia akan berterusan setiap tahun. Tapi terpulang pada individu yang ingin menderma pada bila-bila masa.
“Saya dah anggap semua peminat seperti keluarga dan mereka harta saya. Hasil kutipan adalah sebahagian daripada bayaran yang dikenakan untuk hadir pada majlis hari ini,” kata Siti kepada mStar Online.
Siti berkata demikian ketika majlis ulang tahun Sitizoner yang ke-14 di Bizmilla Insya Hall, Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur pada Ahad.
Majlis itu turut menyaksikan empat orang peminat yang menerima sumbangan iaitu Irham Hafidz, keluarga Allahyarham Darjadi Duprayitno Dapat dari Indonesia, Shaihanim Shariff dan dari Singapura zarina Omar atau dikenali sebagai Che Puteh.
Bagaimanapun, Siti turut menerangkan bahawa tabung itu sebenarnya sudah lama ada, cuma aktivitinya hanya giat dijalankan di akaun Facebook Sitizoner.
Ulang tahun kelab peminat Siti itu dihadiri lebih 300 orang termasuk dari Singapura, Brunei dan Indonesia. – MYNEWSHUB.CC