KUALA LUMPUR – Pencapaian penjelajah negara Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, atau lebih dikenali sebagai Qobin yang menjadi Penjelajah Grand Slam pertama Malaysia menjadi inspirasi kepada semua.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir berkata kejayaan mendaki tujuh puncak tertinggi di setiap benua selain tiba di Kutub Utara dan Selatan, menjadikan Qobin antara 60 manusia yang berjaya mencapai kejayaan menakjubkan itu.
“Pencapaian Qobin menjadikan beliau sumber inspirasi dan mesej beliau tentang kesamaan serta saling menghormati bukan dibuat-buat kerana ia datang daripada pengalaman beliau bertemu manusia dari seluruh dunia.
“Saya rasa kita semua boleh ambil inspirasi daripada etika kerja dan ketabahan Qobin,” kata Kamala dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan AS, di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Kamala menerima kunjungan Qobin di kedutaan tersebut hari ini bagi menyampaikan ucapan tahniah atas pencapaian penjelajah muda berkenaan menjadi Penjelajah Grand Slam pertama negara.
Qobin, 36 yang merealisasikan Ekspedisi Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 menerusi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) tiba di Kutub Selatan pada 28 Dis lalu bersama-sama enam penjelajah lagi dan seorang jurupandu.
Beliau menawan tujuh kemuncak tertinggi dunia di tujuh benua antara 2004 dan 2010 serta meneroka Artik pada April tahun lepas.
Kejayaan menguasai Kutub Selatan menjadikannya rakyat Malaysia pertama, warga Asia Tenggara kedua dan orang Islam pertama serta termuda di dunia menjadi Penjelajah Grand Slam. – BERNAMA