SEREMBAN – MCA Negeri Sembilan akan mengagihkan 888 batang anak pokok limau kasturi kepada penduduk di kawasan Parlimen Rasah dan Dewan Undangan Negeri Mambau, bersempena kedatangan Tahun Baharu Cina.
Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Kebangsaan Ng Kian Nam berkata pengagihan anak pokok berkenaan yang dibuat menerusi program ‘Satu Festival, Satu Buah’ akan dilakukan secara berperingkat di kawasan tersebut.
“Simbolik pemberian anak pokok limau kasturi ini antaranya ialah tanaman ini merupakan ‘ong’ ataupun tuah mengikut fahaman orang Tionghua dan angka 888 itu sendiri turut membawa ‘ong’,” katanya kepada pemberita di program ‘Satu Sekolah, Satu Buah’ anjuran Bilik Gerakan MCA Parlimen Rasah di sini, hari ini.
Mengulas berkenaan program ‘Satu Sekolah, Satu Buah’, Ng berkata sebanyak 50 batang anak pokok kedondong telah ditanam di Sekolah Kebangsaan Rasah Jaya.
Beliau berkata sekolah itu menjadi sekolah pertama dalam Parlimen Rasah yang terlibat dalam projek tersebut dan usaha berkenaan akan diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mewah dekat sini, dengan penanaman 60 batang anak pokok nangka madu pada penghujung bulan ini. – BERNAMA