SEREMBAN – Lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik akan dibina di negeri ini, bagi memastikan rakyat pelbagai lapisan masyarakat dapat memiliki rumah.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rumah mampu milik akan sentiasa dibina di negeri ini kerana pemaju terikat dengan Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mewajibkan 50 peratus daripada projek pembangunan perumahan mesti dibina rumah mampu milik.
“Terbaru, kerajaan meminda beberapa perkara di bawah dasar itu dan ia akan mula dilaksanakan pertengahan tahun ini.
“Antaranya, rumah mampu milik Jenis A di bawah harga RM80,000 dan Jenis B di bawah harga RM250,000 akan dinaikkan dari 15 ke 20 peratus,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau berkata baki 10 peratus adalah untuk rumah berharga RM400,000 ke bawah, manakala 50 peratus lagi rumah yang hendak dibina terpulang kepada pemaju untuk menawarkan perumahan mewah.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membangunakn PPR di atas tanah kerajaan, katanya.
“Di Chembong, 452 unit PPR akan dibina di sana dan rumah ini jenis teres setingkat yang dikhaskan untuk mereka berpendapatan bawah RM1,500.
“Mereka yang layak boleh memohon di Unit Perumahan dan mereka terpilih akan dicabut undi untuk mendapatkan rumah,” katanya.
Mohamad berkata KPKT juga bersetuju membina rumah di atas tanah kerajaan negeri terletak di kawasan Labu seluas 20.23 hektar bagi menyelesaikan isu dihadapi bekas pekerja Ladang Kirby.
“Rumah-rumah yang akan dibina ini bagi membantu pekerja Ladang Kirby yang terpaksa keluar daripada estet tetapi tidak tahu hendak ke mana kerana tiada rumah.
“Usaha ini merupakan tanggungjawab yang dilakukan kerajaan untuk terus membela rakyat,” katanya.
Mohamad berkata usaha-usaha dilaksanakan itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk ‘Memakmurkan Negeri, Mensejahterakan Rakyat’.
“Isu perumahan ini isu amat dekat di hati masyarakat dan kita mesti ada satu dasar intervensi untuk memastikan rumah-rumah yang dibina di negeri ini mampu dimiliki masyarakat pelbagai lapisan,” katanya. – BERNAMA

