SEBILANGAN netizen memandang serong kenyataan agama yang dimuat naik Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menerusi laman Facebook hari ini kerana seolah-olah berbaur sokongan ke atas parti politik tertentu.
Seorang netizen yang mengggunakan akaun Ullqiuorra Murcielago dalam ruangan komen melalui laman itu mendakwa kenyataan Mohd. Asri jelas bertujuan mempertahankan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Netizen Azuwan Saad pula mendakwa kenyataan Mohd. Asri itu merupakan satu modal politik, manakala netizen Mohd. Zakir Ali menyindir Mufti Perlis dengan menyifatkan Pakatan Harapan melantik diktator pencen.
“Cakap je lah sokong pakatan harapan dan Tun tak payah pusing-pusing,” kata netizen bernama Nazri Aminudin melalui ruangan komen laman Facebook tersebut.
“Dr… Kebanyakan ahli politik dan parti politik sama je… SEMBANG KUAT!!!..,” kata netizen Azhan Othman pula.
Mohd. Asri pada 1 November lalu pernah tampil mempertahankan Mahathir, 92, yang merupakan sekutu DAP daripada kecaman orang Melayu.
Beliau hari ini pula mengeluarkan kenyataan mengenai agama di laman Facebook, tetapi berulang kali menekankan tentang harapan.
Berikut antara kenyataan beliau mengenai harapan hari ini:
“Dalam sejarah politik manusia, mana-mana penguasa yang gagal memberikan harapan dan menimbulkan putus asa dalam jiwa rakyat akan menyebabkan rakyatnya bangkit mengorbankan apa saja.
“Apabila harapan sudah tiada, kekecewaan menyelubungi hidup maka manusia akan bertindak dengan cara yang tidak dijangka. Mati dan hidup sudah tiada bezanya. Apabila sudah tiada siapa tempat mengadu, maka tindakan tanpa perhitungan waras akan dilakukan.
“Dalam negara kita, pastinya mana-mana parti politik yang paling mampu memberikan impian dan harapan yang realistik dalam kerangka hari ini, akan mendapat tempat dalam jiwa rakyat terutama golongan muda yang mempunyai banyak harapan dan cita.”
Sebelum ini, seorang ahli akademik pernah mempersoalkan mengapa Mohd. Asri yang popular dengan gelaran Dr. Maza dibiarkan bebas menggunakan kedudukannya sebagai Mufti Perlis untuk terlibat aktif dalam politik anti-kerajaan.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang membuat dakwaan itu mendakwa, perbuatan Dr. Maza tersebut telah menyalahgunakan dan mencemarkan jawatan Mufti Perlis untuk politik anti-kerajaan. – MYNEWSHUB.CC