KUANTAN – Mahkamah Koroner di sini hari ini, diberitahu bahawa penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 telah gagal dalam aspek keselamatan kawalan penonton.
Inspektor Mohd Farirul Abd Halim, 32, yang merupakan pegawai penyiasat kematian dua beranak semasa menonton perlumbaan itu berkata tiada tempat duduk khas disediakan dan tiada satu pun papan tanda yang memaklumkan kedudukan penonton.
Saksi inkues ke-12 menambah penganjur juga lemah dalam penyediaan kawalan keselamatan kerana jumlah anggota Rela dan marshal tidak mencukupi selain taklimat kepada petugas Rela tidak memaklumkan kawasan kejadian adalah kawasan larangan penonton.
“Kelemahan juga berlaku dari aspek keselamatan litar kerana hanya penghadang air kosong disediakan yang juga tidak mencukupi dan lompong di beberapa tempat. Menurut penganjur ia tidak diisi air bagi mengelakkan peserta tercedera jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Mohd Farirul berkata demikian pada prosiding inkues untuk mengetahui jika wujud kecuaian atau jenayah dalam kematian Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, 5, semasa menonton EIMARace 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini pada 11 pagi, 25 September 2016.
Beliau menambah perubahan arah laluan perlumbaan yang dibuat secara tiba-tiba juga menjadi satu daripada punca kemalangan selain pelan asal litar lumba yang sentiasa berubah menyebabkan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) sukar membuat pemeriksaan keselamatan litar.
Berdasarkan mesyuarat awal, perlumbaan itu sepatutnya diadakan di Wisma Belia namun penganjur tidak sempat menempahnya menyebabkan lokasi dipindahkan ke Kompleks Sukpa dan penganjur juga menukar arah laluan perlumbaan, katanya.
“Tiada kerjasama dan persefahaman yang utuh antara penganjur dan MAM yang dilantik sebagai perunding kerana mereka saling menuding jari sedangkan penglibatan dan hubungan mereka telah terjalin sejak 2009 dalam banyak penganjuran seumpama ini.
“MAM mempunyai kuasa untuk membatalkan perlumbaan ini jika berpandangan litar lumba tidak selamat tetapi tetap meneruskan perlumbaan untuk menjaga kepentingan pelbagai pihak seperti kehadiran peserta dan persiapan yang telah dilakukan,” katanya.
Mohd Farirul yang berkhidmat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang berkata IEMARace 2016 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Malaysia Japan International Institute of Technology dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta itu disertai 38 jentera perlumbaan.
Saksi menambah kemalangan yang berlaku melibatkan tiga jentera iaitu jentera nombor 22 dari Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai, nombor 27 (Universiti Multimedia Malaysia Melaka) dan nombor 33 (Politeknik Muadzam Shah).
Ketiga-tiga jentera ini telah bergesel sesama sendiri di litar perlumbaan menyebabkan jentera nombor 27 yang berwarna biru kuning, hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum melanggar orang awam termasuk dua beranak itu.
Sementara itu, isteri mangsa, Siti Suhaiza Seman, 39, yang dipanggil selaku saksi inkues ke-11 berkata keluarganya dirempuh jentera bernombor 27 dan tidak sempat menyelamatkan diri semasa melihat jentera itu meluru ke arah mereka.
“Selepas rempuhan itu, saya terus jatuh… saya masih sedar dan boleh bangun dan cuba memanggil anak-anak dan suami saya.. ” katanya dan menambah anak sulungnnya Muhammad Iz Daniel, 9, turut cedera dalam kemalangan itu.
Siti Suhaiza yang merupakan guru juga tidak dapat menahan kesedihan semasa membaca keterangan bertulisnya dan selepas beberapa kali suaranya tersekat-sekat, Koroner Dazuki Ali membenarkan beliau untuk membaca kenyataannya dengan perlahan.
Dazuki menambah saksi hanya perlu membaca untuk pengetahuannya sahaja dan menyatakan persetujuan jika keterangan itu benar serta boleh menambah jika ada perkara baharu yang hendak dinyatakan kepada mahkamah.
Prosiding inkues yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wahida Zainal Abidin, peguam Che Arifin Mohd Ali selaku peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, Juliana Abu Bakar dan Rosmah Rosli (Majlis Perbandaran Kuantan), Mohd Syahril Daud (MAM) dan Ahmad Hazwan Hamdan (Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser) bersambung Jumaat ini. – BERNAMA