KOTA TINGGI – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju memperuntukkan RM1 juta kepada Masjid Al-Mujahadah Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di sini bagi menaik taraf kemudahan tersebut.
Timbalan Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata peruntukan itu bagi melaksanakan antaranya kerja-kerja pemasangan karpet, penggantian keseluruhan bumbung, pendawaian dan penghawa dingin, mengecat masjid serta membaiki ruang wuduk.
“Diharap apabila sudah dinaik taraf, ia memberi keselesaan kepada jemaah, bukan sahaja dalam kalangan anggota Pulada malahan juga penduduk sekitar,” katanya ketika merasmikan Hari Ulang Tahun Ke-46 Pulada, di sini, semalam.
Sempena majlis itu, Halimah yang juga Anggota Parlimen Tenggara turut menyampaikan sumbangan barang makanan asas dan wang tunai kepada 30 individu golongan kurang upaya yang terdiri daripada anggota dan pekerja awam kem terbabit.
Turut hadir Komanden Pulada Kolonel Semaon Marjuki, Timbalan Pengarah Kemajuan Negeri Johor Dr Mohd Khalid Abd Samad dan Jurutera Kanan Johor Corporation Fathul Hedzri. – BERNAMA