NILAI – Sebagai institusi Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ulung di Malaysia, politeknik seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu memainkan peranan besar dalam menerajui bidang pendidikan itu.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz berkata ini kerana sistem TVET kini dilihat sebagai antara bidang pendidikan yang amat penting untuk memacu masa hadapan negara, selain memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Beliau berkata untuk itu, semua pensyarah dan pelajar hari ini haruslah bersiap sedia dalam menghadapi cabaran dunia bagi memastikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju dapat direalisasikan.
“Pensyarah tidak boleh terkongkong dengan ilmu sedia ada dalam bidang mereka kerana mereka ini sangat berbakat dan perlu bersedia untuk belajar lagi serta dapatkan kemahiran kedua. Bagi pelajar pula mereka harus bersedia mental dan fizikal dalam mendepani cabaran pada masa depan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis amanat tahun baharu 2018 di Politeknik Nilai di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendidikan Politeknik Dr Mohammad Naim Yaakub serta 2,000 pegawai dan kakitangan Politeknik serta Kolej Komuniti dari seluruh negara. – BERNAMA