KLUANG – Kementerian Pertahanan hari ini melancarkan Blueprint Agenda Pendidikan Hala Tuju Kementerian Pertahanan 2018-2022 yang bakal melonjakkan paradigma agenda pendidikan kementerian berkenaan.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkiple Kassim berkata anjakan paradigma tersebut memfokuskan kepada peningkatan kemudahan pendidikan, memperkasakan pendidikan Kementerian Pertahanan, merangka inisiatif untuk memartabatkan pendidikan kementerian dan memberi pengiktirafan serta penghargaan melalui modal insan kepada warga pertahanan.
“Terima kasih kepada Menteri Pertahanan atas sokongan jitu dan meluluskan satu konsep peningkatan pendidikan yang komprehensif, aktif dan kondusif dalam mewujudkan suasana pembelajaran kepada anak-anak tentera, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga awam Kementerian Pertahanan setanding pembelajaran abad ke-21.
“Rangka tindak ini juga membuktikan proses pembelajaran anak-anak tentera sentiasa terpelihara dan dijaga persekitarannya agar anggota tentera dapat melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara dengan penuh tanggungjawab tanpa perlu bimbang akan alam persekolahan anak masing-masing,” katanya berucap pada pelancaran rangka tindak berkenaan di Batalion ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja, di sini.
Pelancaran itu dilakukan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Zulkiple berkata berdasarkan kajian, rangka tindak itu akan memanfaatkan 102,820 orang iaitu 33,611 pelajar, 1,987 guru sekolah dalam kem serta 67,222 ibu bapa yang terdiri daripada warga ATM, warga veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan.
Beliau berkata rangka tindak itu menggariskan empat pendekatan, antaranya pembangunan infrapendidikan sekolah-sekolah dalam kem yang melibatkan kolaborasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Katanya pembangunan infra akan membabitkan 38 sekolah dengan mewujudkan sembilan sekolah cemerlang dan dua sekolah berprestasi tinggi dalam tempoh lima tahun selain penubuhan pusat telekomunikasi atau ‘telecentre’ bagi menyediakan kemudahan mengakses Internet dan Wifi di sekolah-sekolah dalam kem.
“Pendekatan kedua ialah memperkasa institusi pendidikan ATM sedia ada ke tahap lebih unggul bagi Maktab Tentera Diraja dan Maktab Rendah Sains Mara Terendak, Melaka yang turut melibatkan kolaborasi NBOS bersama tiga kementerian,” katanya.
Zulkiple berkata pendekatan ketiga ialah inisiatif kebajikan pendidikan membabitkan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mewujudkan pembelajaran tuisyen dalam talian sekali gus membolehkan pembelajaran dilaksanakan secara interaktif di sekolah dan juga di rumah bersama keluarga.
“Ia juga merangkumi penyediaan kemudahan bersifat akademik melalui Program Motivasi ATM/Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), mewujudkan tabung pendidikan Kementerian Pertahanan, penubuhan taska ATM dan menyediakan Feri Sekolah menggunakan bas bagi menggantikan kenderaan tiga tan sebelum ini,” katanya.
Pendekatan keempat pula kata Zulkiple ialah pengiktirafan dan penghargaan modal insan yang melibatkan kolaborasi Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Pendekatan tersebut melibatkan anugerah kecemerlangan yang dibiayai sepenuhnya oleh LTAT menerusi biasiswa ke institusi pengajian tinggi awam serta kemudahan kesihatan dan PERNAMA untuk guru. – BERNAMA