SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan zuriat yang ramai sebagai penyeri rumah tangga kerana amanah itu bagaikan pelengkap sesebuah perkahwinan.

Begitu juga bagi pelawak Achey Bocey atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Hamzah, 32, yang masih belum dikurniakan cahaya mata sejak berkahwin dengan pilihan hatinya, Nor Hasanah Yahaya, 28, tujuh tahun lalu.
“Seboleh-bolehnya saya dan isteri mahu menjalani proses mendapat zuriat itu secara normal. Seperti pasangan suami isteri yang lain juga,” katanya dipetik daripada mStar Online.

Menurut Achey, ketika pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu, doktor memberitahu bahawa isterinya langsung tiada sebarang masalah untuk hamil namun kemungkinan kesukaran itu disebabkan oleh tekanan.
“Tahun lalu kami ada pergi ke HKL untuk membuat pemeriksaan bagi mengesan masalah yang dihadapi saya dan isteri.
“Alhamdulillah isteri tidak ada apa-apa masalah namun doktor kata mungkin disebabkan tertekan yang sukar untuk dikurniakan zuriat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Achey turut memberitahu bahawa mereka ada menerima tawaran tajaan bagi melakukan proses IVF namun mereka masih belum bersedia untuk melakukan proses berkenaan pada masa ini.
“Ada juga menerima beberapa tawaran tajaan untuk melakukan proses IVF tapi kami berdua belum cukup bersedia untuk buat sekarang.
“Sebab nak melalui proses itu belum masa rehat yang panjang. Kami berdua tidak boleh dalam keadaan tertekan. Buat masa ini saya ada tanggungjawab kerja lagi,” katanya lagi.

Namun tambah Achey, mereka bukanlah menolak tawaran tersebut tetapi hanya belum bersedia untuk melakukannya dalam masa sekarang.
Tak mengapalah mungkin belum tiba masanya untuk Achey dan isterinya menimang cahaya mata.

Tapi siapa tahu, rezeki semua di tangan Tuhan. Mungkin tahun 2018 ini akan memberi sinar baharu dalam rumah tangga yang dibina sejak tujuh tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC/AH