PUTRAJAYA – Seorang ejen hartanah terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana mengedar dadah.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim melepas dan membebaskan Hari Singh Kanda a/l Simseer Singh selepas memutuskan bahawa perbicaraan dijalankan tidak mengikut undang-undang.
Hakim Mohd Zawawi yang mengetuai panel itu berkata mahkamah berpendapat bahawa keputusan hakim menolak permohonan pihak pembela untuk membenarkan pihak pembela mengemukakan kenyataan yang dibuat oleh pekerja restoran telah menimbulkan prasangka terhadap kes pihak pembela dan menyebabkan Hari Singh Kanda terlepas peluang untuk menyokong kesnya.
Pihak pembela telah memohon kepada mahkamah untuk menerima kenyataan yang dibuat oleh seorang pekerja restoran, warga Myanmar yang berkata bahawa dadah itu adalah milik seorang lelaki dikenali sebnagai Yap.
Hari Singh Kanda, 25, yang memakai pakaian penjara berwarna merah dan putih kelihatan sangat gembira apabilamendengar keputusan mahkamah.
Pada 31 Julai, tahun lepas, Hari Singh Kanda dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas tuduhan mengedar heroin dan dadah jenis monoacetylmorphine seberat 50.4 gramme.
Dia dituduh mengedar dadah itu di depan sebuah restoran di Batu 3, Jalan Ipoh pada 18 Jun, 2016.
Hari Singh Kanda diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Geethan Ram Vincent sementara timbalan pendakwa raya Wong Poi Yoke menjalankan pendakwaan. – BERNAMA

