UGUTAN bunuh terhadap selebriti berpengaruh Bollywood bukan sesuatu yang baru sahaja berlaku, dan antara artis yang sering menjadi sasaran ialah Salman Khan.

Pada tahun 2002 yang lalu, Salman pernah menerima satu ugutan bunuh oleh kumpulan kongsi gelap tetapi identiti mereka dirahsiakan dan disebabkan itu, dia telah memohon kembali lesen memiliki senjata apinya yang ditarik balik oleh pihak berkuasa kerana memburu secara haram.
Namun, pada 5 Januari lalu, sekali lagi pelakon bertubuh sasa itu telah menerima ugutan bunuh buat kali kedua dan kali ini dia mendedahkan identiti ketua gangster tersebut yang bernama Lawrence Bishnoi.


India Today telah melaporkan bahawa Bishnoi kini telah ditahan reman dan bakal dihadapkan ke mahkamah selepas mengeluarkan kenyataan ugutan tersebut di Jodhpur, India.
“Salman Khan akan dibunuh di Jodhpur, kemudian dia akan mengetahui tentang identiti kita yang sebenar.
“Saya akan melarikan diri dari tahanan polis bila-bila masa yang saya mahu,” katanya kepada pihak media tempatan India ketika di mahkamah Jodhpur.

Selain itu, Bishol turut terkenal dengan kegiatan jenayah yang dilakukannya sebelum ini iaitu antaranya 20 kes cubaan membunuh, menculik serta memeras ugut.
Menurut Pesuruhjaya Polis, Ashok Rathore, pihak berkuasa telah memperketatkan beberapa kawalan keselamatan bagi aktor berkenaan bagi memastikan tidak terjadi perkara yang tidak diingini.
“Kami akan mengembil serius dengan ancaman bunuh yang dilakukan oleh gangster tersebut terhadap Salman Khan.
“Kami telah memperketatkan kawalan keselamatan untuk dia supaya dengan ini dapat memastikan keselamatan pelakon itu berada dalam keadaan selamat,” tambahnya lagi.

Pihak polis masih lagi tidak mengetahui punca sebenar Salman mendapat ugutan bunuh tersebut.
Sebelum ini juga Salman pernah diugut bunuh oleh ketua penjenayah yang dikehendaki iaitu Ravi Pujari dan perkara itu sudah dilaporkannya kepada bahagian saisatan jenayah.

Selain Salman, Datuk Shah Rukh Khan turut menerina ugutan bunuh selepas menolak tawaran berlakon dalam sebuah filem di sana.
Laporan ugutan seperti itu agaikan satu perkara biasa bagi selebriti terkenal Bollywood kerana hidup mereka penuh dengan risiko. – MYNEWSHUB.CC/AH

