HANYA kerana menumpang duduk dan berniaga sementara menunggu pelanggan untuk ambil tempahan pulut kuning, pelakon Zarina Zainuddin dan anaknya, Muhammad Razil Azrai telah dihalau oleh peniaga di Lumut, Perak.

Menurut Zarina, dia berasa sangat kesal dengan kejadian tersebut dan menganggap perkara seperti itu tidak seharusnya terjadi hanya kerana perkara kecil.
“Saya baru sampai di sana dan tak tahu nak ke mana. Jadi, saya pun duduk sebentar dengan anak saya, Azil, di tepi bucu. Ada tempat duduk di sana.
“Memandangkan tiada parkir, saya turun dulu, minta adik cari tempat letak kereta. Tiba-tiba datang sepasang suami isteri, peniaga buah, marah-marah suruh saya angkat pulut,” tulisnya di ruangan caption di Instagram miliknya pada Ahad lalu.

Zarina dikatakan telah dihalang oleh pasangan suami isteri tersebut dengan alasan tapak berkenaan sudah disewa oleh orang lain.
Peniaga itu dianggap tidak sopan kerana perbuatannya yang menjerit di khalayak ramai serta telah mengganggu emosi anaknya, Azil yang mempunyai penyakit autisme.

Disebabkan itu, Azil bagaikan tidak tentu arah apabila ibunya ditengking oleh pasangan suami isteri itu secara tiba-tiba.
“Kita orang Melayu jangan nak berdengki sesama sendiri. Awak jual buah, saya jual pulut. Baru je ingat nak beli rambutan yang awak jual sebab kawan saya Umie Aida suka rambutan,” tulisnya lagi.
Menurut Zarina, mereka turut menghalau pelanggan yang ingin membeli pulut kuning yang dijualnya.

Akibat hari sudah hampir malam, Zarina mengambil keputusan untuk sedekahkan sahaja kesemua pulutnya kepada pengunjung yang ada di situ.
Pada asalnya dia berkunjung ke lokasi berkenaan kerana secara kebetulan pulang ke kampung dan bercadang untuk membeli ikan bilis mata biru bagi menambah menu baru dalam masakannya.
“Saya dapat pahala bagi orang makan semalam. Alhamdulillah.
“Duit boleh cari bang, attitude tak boleh beli. Ia lahir dari jiwa yang tulus walau kadang-kadang ada orang mengata kita kat belakang,” ujarnya lagi.

Semalam, Zarina telah memuat naik satu screenshot permohonan maaf daripada wakil pasangan suami isteri itu yang merupakan AJK Persatuan Penjana Dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Lumut.
Bagaimanapun, dengan hati yang terbuka, Zarina telah memaafkan pasangan tersebut walaupun perbuatan mereka itu tidak sepatutnya berlaku.

“Saya dah lama maafkan abang tu saya tahu saya masuk tempat orang… Selalu orang beria ia panggil saya ke tempat mereka. Saya sebenarnya nak beli ikan bilis jer kat Lumut tu…
“Niat balik kampung ada kenduri sepupu saya sekali jalan bawa sekali pulut kuning kat sana sebab ada orang dah order… niat cuma nak tumpang tepi tu sekejap jer takde lah lama sebab customer dah sampai… Lupakan lah..,” tulisnya semalam.


Netizen turut bersimpati atas apa yang menimpa Zarina lagi pula ketika itu anaknya yang mempunyai masalah autisme turut berada di situ.
Diharapkan perkara seperti ini tidak lagi berlaku bukan hanya pada Zarina malah turut kepada orang lain.
Budi bahasa itu perlu diutamakan dan jangan pernah langsung ada perasaan hasad dengki dalam berniaga, takut nanti rezeki yang masuk tu tak berkat pula. – MYNEWSHUB.CC/AH

