REMBAU – Mayat dua remaja yang dilaporkan lemas selepas keluar menjala petang semalam di Sungai Pedas, Kampung Merbau 9, Pedas, dekat sini, dijumpai pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri Norazam Khamis berkata mangsa, Muhamad Syafiq Rosli, 15, ditemukan pada pukul 10.22 pagi manakala Muhammad Alias M Sadri, 15, dijumpai pukul 11.07 pagi.
“Kedua-dua mereka ditemui pada jarak 10 meter dari lokasi mereka mandi manakala semalam seorang lagi mangsa Muhammad Iqqmal Haziq Muhammad Nozili, 12, pula ditemui 100 meter dari lokasi kejadian.
“Dengan penemuan ketiga-tiga mangsa, maka kita telah menutup pusat gerakan operasi kita pada pukul 11.30 pagi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk dibedah siasat.
Norazam dalam pada itu menasihatkan penduduk sekitar agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai berkenaan termasuk mandi, memancing dan menjala.
“Keadaan sungai itu tidak menentu kerana ada kawasan yang airnya cetek dan ada yang dalam. Saya minta semua lebih berwaspada. Ibu bapa juga saya nasihatkan supaya mengawasi anak masing-masing bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.
Operasi yang memasuki hari kedua pencarian itu bermula pada 8.30 pagi ini dan disertai 20 anggota bomba, 10 anggota polis dan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – BERNAMA

