KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 445 orang daripada 130 keluarga selepas Rompin menjadi daerah terbaru menempatkan mangsa pemindahan banjir pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusof berkata di Rompin, 349 orang daripada 95 keluarga dipindahkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS).
“Lima PPS berkenaan adalah Dewan Telok Gading, Tanjung Gemok menempatkan 15 orang daripada lima keluarga, Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam 148 orang (38 keluarga).
“Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu 42 orang (14 keluarga), Sekolah Menengah Pontian Jaya 94 orang (26 keluarga) dan Balai Raya Sepayang 50 orang (12 keluarga),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di daerah ini turut meningkat kepada 96 orang (35 keluarga) pagi ini berbanding 34 orang (14 keluarga) malam tadi.
Zainal berkata, dua daripada empat PPS, baharu dibuka kira-kira 1.30 pagi tadi di Balai Raya Kampung Paya Bungor yang menempatkan tujuh orang (dua keluarga) manakala Dewan Jabatan Pengairan dan Saliran Kampung Kurnia dibuka pada 11.30 malam yang menempatkan 12 orang (empat keluarga).
Katanya, dua lagi PPS yang beroperasi ialah Dewan Orang Ramai Sri Damai menempatkan 36 orang (16 keluarga) dan Balai Raya Pandan 2 menempatkan 41 orang (13 keluarga). – BERNAMA

