KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan seramai 29.4 juta pelancong ke negara ini pada tahun ini selain menetapkan sasaran keuntungan sebanyak RM89 bilion menerusi industri pelancongan negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pelbagai program telah direncanakan oleh kementerian dalam usaha untuk menarik minat pelancong luar berkunjung ke negara ini.
“Antaranya kementerian giat mempromosikan festival MyFest 2015 yang akan dilancarkan dalam bulan Februari nanti, yang mana kementerian telah menyenaraikan lebih 50 buah acara dan festival yang dijangka boleh menarik pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara.
“Sebagai contoh, Tourism Malaysia mahu memberi perhatian terhadap Teater MUD yang menceritakan keseluruhan kisah ibu kota Malaysia sebagai salah satu produk pelancongan yang perlu dipergiatkan lagi promosinya daripada segala sudut,” katanya ketika ditemui dalam sesi sidang media Kementerian Pelancongan Malaysia bersama Pengarah Pelancongan Malaysia di luar negara, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Maznah Mazlan.
Selain itu, pihaknya turut yakin kedatangan pelancong China akan kembali meningkat seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun mengakui insiden yang melibatkan syarikat penerbangan negara tahun lalu memberi kesan yang besar terhadap kedatangan pengunjung dari negara itu ke Malaysia.
“Saya tidak menafikan tragedi MH17 dan kehilangan pesawat MH370 sedikit sebanyak memberi kesan terhadap jumlah pengunjung China ke Malaysia namun dengan pelbagai penganjuran acara yang menarik ini diharap dapat meningkatkan kembali jumlah pelancong dari China seperti mana yang dilakukan pada tahun 2013,” katanya.
Antara aktiviti tahunan yang akan dipergiatkan untuk diperkenalkan kepada pelancong luar ialah majlis sambutan rumah terbuka bagi setiap perayaan besar di Malaysia, Festival Layang-Layang Sedunia, Karnival Pelancongan LIMA, Festival Kasut Antarabangsa Malaysia, Pesta Air Nasional Labuan dan Pesta Bunga dan Taman (Floria) Putrajaya.
Pada 2012, sebanyak 25 juta pelancong direkodkan dengan RM60.6 bilion keuntungan dicatatkan, menjadikan Malaysia di antara 10 negara paling popular di dunia untuk dilawati pelancong dari serata dunia. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHARÂÂ
