CHEF selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra disapa dengan panggilan Chef Wan membuat laporan polis terhadap sebuah portal online, Malaysia Chronicle, baru-baru ini.
Ia melibatkan isu portal berkenaan didakwa memutar belit kenyataan yang dikeluarkan oleh chef tersebut dalam satu entri di laman Instagram miliknya, pada Isnin lalu.
Chef Wan berkata, beliau mengambil tindakan berkenaan kerana artikel tersebut telah merosakkan nama dan juga reputasinya sebagai public figure.
“Baru sahaja selesai membuat laporan polis berkenaan artikel yang memetik (kenyataan) saya dengan salah dan menjejaskan reputasi saya, dalam artikel yang ditulis di Malaysia Chronicle.
“Perkara ini kini di tangan undang-undang. Semoga keadilan dapat ditegakkan,” tulisnya menerusi posting yang menyaksikan gambarnya bersama salinan laporan di hadapan Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Malaysia Chronicle telah menyiarkan sebuah artikel mengenai kenyataan Chef Wan yang didakwa telah diputar belit oleh pihak terlibat bertajuk, ‘All I want for christmas is a new pm: outraged by najib’s senseless attacks on ex-pm, chef wan the latest celebrity to demand change – Look at Tun M, What have they not done to him’.
Hasil daripada tinjauan, Mynewshub mendapati artikel berkaitan dilihat seolah-olah memutar belit kenyataan Chef Wan berhubung posting memaparkan gambar baju tertera tulisan ‘All I want for Christmas is a new prime minister’ yang disifat sebagai melucukan.
Dalam pada itu, perkara tersebut turut dikongsi sendiri oleh chef tersebut menerusi tangkap layar (screenshot) yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Rabu lalu.
Sementara itu, laman web Malaysia Chronicle dilaporkan tidak dapat diakses ekoran disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). – MYNEWSHUB.CC/AM