PUTRAJAYA – Seramai 1,000 orang murid dan pelajar di seluruh negara disasarkan menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah menerusi program tanggungjawab sosial (SR) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) peringkat nasional.
Program SR Ops Kasih 2.0 dengan tema”’Ceria Kembali Ke Sekolah”merupakan program tahunan LHDNM melibatkan keseluruhan cawangan dan warga kerja di seluruh negara bersempena dengan musim cuti sekolah yang hampir tamat.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, LHDNM berkata program Ops Kasih 2.0 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) Mahmood Daud di pasar raya Tesco Nilai, Negeri Sembilan.
Program SR yang bermula pada 22 hingga 31 Dis ini menyasarkan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dari keluarga miskin, berpendapatan rendah dan anak-anak yatim di seluruh negara, dan mereka akan menerima sumbangan berupa pakaian, kasut, alat tulis dan beg sekolah bernilai RM130 setiap seorang.
“Sumbangan ini secara tidak langsung akan memberi peluang kepada warga kerja di seluruh LHDNM untuk turut sama menggembleng tenaga, usaha dan sumbangan wang ringgit sebagai insan prihatin dan rakyat yang bertanggungjawab terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya.
Justeru, LHDNM berkata Ops Kasih 2.0 ini merupakan satu kesinambungan yang akan menggerakkan Skuad Prihatin 1Hasil yang telah sedia diwujudkan di setiap Pejabat Pengarah Negeri dan Cawangan LHDNM di Seluruh negara lantas menangkis tanggapan negatif sebilangan masyarakat terhadap LHDNM selaku ejen percukaian negara. – BERNAMA