SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan menahan dua pengedar dadah yang aktif di negeri ini dan merampas dadah jenis heroin seberat 74.2 gram bernilai RM3,100, di dua lokasi berasingan di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Supt Mohd Faisal Yahya berkata hasil ujian air kencing kedua-dua lelaki berumur 31 dan 43 tahun itu, turut didapati positif dadah jenis opiat.
“Bagi kes pertama, lelaki yang dipercayai pengedar dadah itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Seremban Selantan semalam kira-kira 9 malam.
“Pihak polis telah menjumpai dadah jenis heroin seberat 43.2 gram dengan nilai pasaran RM2,100,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM2,000.
Mohd Faisal berkata suspek yang mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkait narkotik, kini disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
“Bagi kes kedua, hasil serbuan selama 12 jam bermula 5 pagi kelmarin, seramai 25 lelaki berusia 21 hingga 63 tahun, termasuk seorang pengedar dadah telah ditahan di Kampung Sendayan dekat sini. Lokasi serbuan adalah sarang penagih dadah tegar yang tinggal di kawasan Sendayan, Lukut dan Mambau,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut merampas dadah jenis heroin seberat 31 gram bernilai RM1,000 daripada suspek yang dipercayai pengedar dadah, selain menyita sebuah motosikal dan wang tunai dianggarkan bernilai RM3,840.
Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“JSJN akan terus mempergiatkan usaha untuk memenuhi visi dan misi jabatan iaitu memerangi dadah secara habis-habisan di negeri ini.
“Untuk itu, pihak polis memerlukan kerjasama daripada masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan mereka,” katanya. – BERNAMA

