MELAKA – Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas ketika cuba mengutip bola anak saudaranya yang terapung di laut pagi tadi ditemukan oleh nelayan tempatan pada pukul 4.45 petang pada jarak 20 meter dari daratan Pantai Puteri.
Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan (DM5), Komander Maritim Azman Samsudin berkata mangsa tersebut dikenali sebagai Mohammad Rohim Rohani, 35, dan bekerja sebagai kontraktor telekom.
Katanya menurut maklumat yang diperolehi, pemuda berasal dari Klang, Selangor itu bersama keluarga dipercayai sedang bercuti sambil menziarahi sahabatnya yang tinggal di Pantai Puteri, di sini sejak semalam.
“Menurut saksi, pada awal kejadian mangsa yang memakai baju t-shirt warna biru dan berseluar pendek coklat mandi bersama keluarga bertindak cuba mengutip bola anak saudara yang hanyut.
“Namum mangsa gagal berpatah balik dan secara tiba-tiba mangsa terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata bilik gerakan APMM , Daerah Maritim 5 Kuala Linggi telah menerima panggilan dari MERS 999 mengenai kejadian itu pada jam 11.30 pagi tadi.
Katanya APMM telah menugaskan bot Petir 84 ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan dibantu aset dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan bot nelayan tempatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata mayat mangsa ditemukan tersangkut pada bot nelayan tempatan, berikutan itu operasi SAR telah ditamatkan .
Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.
Dalam pada itu, Rohaya Rahmat, 57, ibu kepada mangsa berkata, dia tidak menyangka kelakuan pelik anaknya sebelum kejadian menjadi petanda sesuatu yang buruk akan berlaku.
Katanya, kematian mengejut anaknya itu mengingatkan dia kepada perbuatan arwah yang disifatkan ‘pelik’ kerana kurang bercakap sejak semalam.
Menurutnya, arwah merupakan anak tunggal lelaki yang bekerja sebagai kontraktor Telekom itu juga dilihat berubah sikap dengan gemar merakamkan gambar kenangan bersama keluarga sebelum datang ke tempat kejadian.
“Saya lihat dia tunjukkan sikap yang pelik sejak semalam, dia bukan macam tu orangnya (pendiam)… dua kali dia cari mak, dia tanya pasal makan malam, pada hal makan malam dah siap terhidang, tapi dia cari mak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, sebelum kejadian, lapan cucunya sedang bermain bola di pesisir pantai, manakala mangsa bersama adik iparnya, Mohd Hadi Tajuddin, 34, memancing di siitu.
Rohaya berkata secara tiba-tiba bola berkenaan terjatuh ke dalam air dan mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu bergegas ke dalam air untuk mengutip bola tersebut.
“Bila arwah masuk ke dalam air, saya lihat secara tiba-tiba arwah terkapai-kapai, kemudian kelihatan seperti dia ingin patah balik ke darat, namun, alih-alih sahaja arwah hilang dalam gelombang,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Mohd Hadi berkata dia yang ketika itu sedang memancing turut cuba menyelamatkan abang iparnya, namun ketika berenang ke arah mangsa dia melihat air (laut) sudah di paras dadanya.
“Bila air berada di paras dada, saya patah balik ke darat kerana saya tahu arwah memang pandai berenang. Namun, saya lihat, tiba-tiba arwah terkapai-kapai sebelum hilang dalam gelombang air laut,” katanya. — BERNAMA

