KUALA TERENGGANU – Pasukan Terengganu Football Club 1 (TFC 1) kini diperkemaskan dengan kemasukan pemain pertahanan import baharu dari Montenegro, Igor Zonjic.
Pengurus TFC 1, Irfan Bakti Abdul Salim berharap dengan kemasukan bekas pemain kelab FK Rad, Serbia selama satu musim itu, akan memperkukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan utama Terengganu dalam menghadapi saingan Liga Super 2018.
“Kita boleh lihat pada musim lalu, pemain kita Lazarro banyak melepaskan gol mudah…kita tidak kata dia tidak bagus tetapi tidak mahu kesilapan berkenaan berulang.
“Beliau (Igor Zonjic) juga seorang pemain muda dan masih aktif dalam bola sepak…saya ambil beliau dalam keadaan masih berbaki beberapa perlawanan di liga lamanya dan beliau datang ke sini dalam keadaan cergas dan InsyaAllah bebas daripada sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Kemasukan Igor Zonjic, 26, menambah barisan pemain import baharu Terengganu yang sebelum ini dibarisi pemain kelahiran England Lee Andrew Tuck yang beraksi bersama Negeri Sembilan musim ini, Kim Hyeon Woo dari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Thierry Chantha Bin dari Krabi FC.
Irfan Bakti berkata setakat ini, semua pemain TFC 1 dalam keadaan cergas dan boleh menerima latihan yang dijalankan.
“Dalam dua tiga minggu ini, kita menitikberatkan latihan kecergasan agar semua pemain lama dan baharu cergas setelah bercuti agak lama daripada saingan liga. Pemain import baharu juga sudah boleh menyesuaikan diri agak cepat dengan keadaan di Terengganu serta corak latihan dan taktikal kita. Jadi kita tidak ada sebarang masalah dengan mereka,” katanya.
Mengenai tahap kesihatan penjaga gol utama Terengganu, Sharbinee Allawee, jurulatih itu berkata sehingga kini Sharbinee masih dalam proses pemulihan dan belum diputuskan sama ada akan disenaraikan dalam pasukan utama Terengganu atau sebaliknya.
“Kita tidak mahu ganggu beliau kerana dia sedang dalam proses rehat untuk jangka panjang. Nama beliau juga tidak disenarai dalam barisan penjaga gol kita tapi tidak mustahil untuk beliau beraksi jika beliau sihat sepenuhnya dan kita sentiasa memantau keadaan kesihatan beliau,” katanya. – BERNAMA