PENYANYI baharu Aiman Tino sering menerima kritikan sehinggakan beberapa minggu lalu beliau dikritik kerana nyanyian rapnya menerusi lagu Terasa Cinta dianggap teruk oleh beberapa pihak.
Baca: Rap Aiman Tino Dikritik, Fara Hezel Beri Penjelasan
Namun, tidak semua yang memandang rendah kemampuan penyanyi berusia 19 tahun itu. Penyanyi hip hop, Joe Flizzow antara yang memberikan semangat kepada penyanyi remaja tersebut.
Juga: “Aiman Dah Cuba Terbaik, Dia Rap Pun Okay” – Joe
Malah, penyanyi Tomok menerusi laman Instagramnya turut memberikan kata-kata semangat buat pelantun suara bagi lagu Ku Hanya Sayang Padamu itu.

Katanya, keadaan dilalui Aiman ketika ini seperti mengimbau kembali apa dialaminya pada awal kemunculan Tomok bersama kumpulan Newboyz yang popular dengan lagu Sejarah Mungkin Berulang suatu ketika dahulu.
“Dengan kritikan tentang gaya nyanyian dan sebagainya. Sama seperti aku dulu bersama Newboyz. Asyik kena komen saja.
“Tapi, perkara itu tak mematahkan semangat aku untuk terus berjuang memperbaiki diri ini. Aku yakin dia juga ada rasa yang sama,” tulisnya di laman Instagram.

Tambah Tomok lagi, Aiman perlu yakin dengan bakat yang diperolehnya dan teruskan belajar untuk menjadi penyanyi yang baik.
Menurut pelantun suara bagi lagu Bagaikan Bidadari ini lagi, bakat baharu perlu diberi semangat kerana mereka merupakan pelapis industri.
“Sebagai penyanyi senior, kita harus memberi semangat kepada generasi pelapis dan terus menyokong antara satu sama lain,” katanya dipetik BH Online.
Dalam pada itu, Tomok kini muncul dengan buah tangan baharu menerusi single yang berjudul Menanti Di Sini.

“Sudah lama saya tidak merakam lagu balada. Lagu Menanti Di Sini bagai melepaskan kerinduan saya.
“Selama ini, balada dekat dengan jiwa saya. Apabila mendapat lagu ciptaan Zul 2 By 2 ini, saya terus tertarik. Lantas, saya fikir mengapa tidak merakamkannya,” ujarnya.
Katanya, single tersebut dikeluarkan awal supaya tidak perlu bersaing dengan ramai penyanyi lain. Penyanyi ini juga dengar-dengarnya bakal muncul dengan album baharu pada tahun depan. – MYNEWSHUB.CC/SA
