SUNGAI PETANI – Sebuah kedai emas di Jalan Dewa di sini, kerugian RM1.4 juta selepas disamun dua lelaki dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Saifi Abdul Hamid berkata, tiada pelanggan di dalam kedai sewaktu kejadian, hanya pemilik kedai emas terbabit berada di dalam kedai bersama lima pekerjanya.
“Kedai terbabit tidak mempunyai pengawal keselamatan dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kedua-dua lelaki terbabit dilihat memakai topi keledar bercermin gelap, masuk ke dalam kedai terbabit dengan salah seorang daripadanya mengacukan sepucuk pistol ke arah pekerja kedai emas terbabit, mengarahkan pekerja kedai mengeluarkan barang kemas daripada cermin pameran.
“Suspek mengambil masa antara tiga hingga lima minit untuk melakukan samun sebelum dilihat keluar bersama sebuah beg berisi barang kemas, lalu melarikan diri menaiki motosikal menuju ke arah Jalan Petri, pekan Sungai Petani,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan berlaku, dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Siasatan turut mendapati bahawa kedai emas yang beroperasi sejak 28 tahun lalu itu pernah disamun sekitar tahun 1993,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi pegawai penyiasat ASP Fakhruzi Ismail di talian 019-7204939. – BERNAMA