PEKAN – Sukan lasak kenderaan pacuan empat roda (4×4) Rainforest Challenge (RFC) 2017 adalah antara medium mempromosi produk pelancongan Pahang ke dunia luar.
Sekretariat penaja cabaran berkenaan, Rafidah Hussin berkata Pahang yang menjadi destinasi akhir RFC berlangsung selama 12 hari sejak 24 Nov lepas itu, melibatkan penyertaan 350 peserta dari 32 negara.
Antara negara mengambil bahagian ialah Rusia, Poland, Lithuania, Denmark, Romania, Bulgaria, Itali, Slovenia, Ecuador, Colombia, Hong Kong, China, Perancis, Belarus, Sri Lanka, Siberia, Brunei, Filipina, Thailand dan Singapura.
“Program ini juga satu usaha mempromosi eko-pelancongan di Malaysia khususnya di Pahang yang terkenal dengan banyak tempat tarikan pelancong dan alam semula jadi.
“Kita berharap peserta luar negara akan kembali untuk menikmati keindahan semula jadi pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi peserta melawat tempat bersejarah sekitar daerah ini, hari ini.
Selain melawat lokasi pelancongan, peserta juga dibawa menikmati juadah tradisional masyarakat Pekan seperti nasi dagang, laksa gebok dan kuih bakar.
Rafidah berkata laluan diketengahkan pada pertandingan akhir RFC itu juga memberi pengalaman tersendiri kepada peserta kerana faktor geografinya yang mencabar.
“Trek juga melibatkan beberapa daerah lain seperti Kuantan, Temerloh dan Bera dengan peserta menyifatkan laluan paling mencabar ialah di Hulu Pukin, Felda Selancar di Rompin sehingga digelar ‘Twilight Zone’.
“Permukaan geografinya yang mencabar seperti hutan hujan dan bukit-bukau, selain keadaan cuaca Khatulistiwa yang tidak menentu, menarik minat peserta dan menguji kecekapan mereka mengendalikan kenderaan,” katanya.
Rafidah berkata RFC juga lebih bersifat memberi pengalaman dan bukan berteraskan ganjaran wang tunai kerana juara hanya diberikan trofi sebagai tanda pengiktirafan.
Pada kejohanan itu, pasukan Maxxis Malaysia muncul juara, diikuti pasukan Rusia manakala pasukan Johor menduduki tempat ketiga. – BERNAMA