KUALA LUMPUR – Seorang ibu anak istimewa, Suzana Adnan, 46, bersyukur dengan kewujudan Pusat Permata Kurnia yang bukan sahaja membantu anaknya Asyraf Jemisam Abdullah dalam pembelajaran tetapi juga mampu membaca al-Quran.
“Saya gembira melihat perubahan anak saya, daripada seorang yang sangat aktif menjadi seorang anak yang mendengar kata dan boleh dikawal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Pusat Permata Kurnia 2017, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Asyraf Jemisam, 6, menerima Anugerah Pencapaian Tertinggi.
Mengulas lanjut, Suzana yang merupakan suri rumah sepenuh masa dari Semenyih, Selangor, berkata anaknya yang disahkan anak autisme sejak berusia dua tahun, dihantar ke pusat berkenaan pada 2016 selepas disarankan oleh doktor di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ini katanya bagi membolehkan anaknya itu mengikuti intervensi awal dalam aspek pendidikan dan kehidupan seharian untuk kanak-kanak autisme.
Sementara itu, Pengarah Permata Kurnia Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata seramai 91 kanak-kanak diraikan dalam majlis konvokesyen ke-2 tersebut atas kejayaan menamatkan program pendidikan dan intervensi awal.
“Daripada jumlah itu, seramai 63 orang akan memasuki tahun satu di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia manakala 28 lagi di prasekolah,” katanya.
Hasnah berkata pusat itu menerima permintaan tinggi daripada ibu bapa sejak tahun lepas susulan kejayaan mengasuh anak-anak autisme. – BERNAMA