KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) siap siaga untuk memindahkan seramai 139 pelajar Malaysia keluar dari Bali, Indonesia sekiranya berlaku letusan Gunung Agung yang lebih teruk.
KPT dalam satu kenyataan media berkata, seramai 155 pelajar Malaysia mengikuti program perubatan di Universitas Udayana Bali dan seramai 139 masih berada di universiti berkenaan, manakala 16 daripada mereka telah pulang ke tanah air.
“KPT telah mengambil tindakan segera dan proaktif dengan memastikan kesiapsiagaan Education Malaysia (EM) Indonesia bagi mengaktifkan proses evakuasi sekiranya perlu.
“Ia melibatkan bantuan logistik kepada para pelajar untuk keluar dari Kepulauan Bali ke kawasan yang selamat seperti di Kota Surabaya, keperluan penginapan sewaktu fasa evakuasi, pengecualian kuliah dan keperluan-keperluan lain bagi menjamin keselamatan para pelajar,” kata kenyataan itu hari ini.
Gunung Agung mula meletus pada hari Ahad, 26 November 2017 dan Status IV (AWAS) iaitu status berbahaya dan tertinggi dikeluarkan oleh Badan-Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia.
KPT berkata, kementerian itu membuat pemantauan rapi pada setiap hari dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPM) Cawangan Bali dan juga Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui Jawatankuasa Keselamatan yang turut disertai oleh wakil Konsul Kehormat Malaysia di Bali.
“Sehingga kini status keberadaan para pelajar yang terlibat adalah selamat memandangkan Gunung Agung berada dalam jarak 61 kilometer dari Denpasar, Bali dan mereka masih menjalankan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa.
“Bagaimanapun, para pelajar juga diberi peringatan agar mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan sebarang implikasi luar jangka,” kata KPT. – Mynewshub.cc