KUNDASANG – Kesatuan Eropah (EU) tetap komited untuk bekerjasama dengan Malaysia, termasuk kerajaan Sabah dan masyarakatnya dalam menyebarkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan pentingnya pengurusan hutan.
Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez berkata ini termasuk mendekati masyarakat yang hidup mereka bergantung kepada kelestarian hutan.
“Kami mendapati penduduk kampung di Sabah adalah yang paling komited dalam melindungi alam sekitar.
“Jueteru, kita perlu bekerjasama bukan sahaja dengan para profesional dan ahli politik tetapi juga masyarakat untuk melihat bagaimana melindungi alam sekitar adalah lebih bermakna kepada mereka,” kata beliau selepas bertemu masyarakat Kampung Bundu Tuhan di sini hari ini.
Fernandez berkata lawatan delegasi itu ke kampung tersebut, terletak berhampiran Gunung Kinabalu, adalah sebahagian daripada programnya ke Sabah untuk meninjau kemajuan Projek Ekolinc Kinabalu, yang merupakan sebahagian daripada projek EU untuk menangani perubahan iklim.
Beliau juga berkata delegasi itu akan bertemu dengan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk melahirkan komitmen bersama dengan kerajaan negeri untuk berusaha menangani perubahan iklim.
Pengurus Projek Ekolinc Kinabalu, Norlina Mohd Din berkata projek itu adalah usaha pemuliharaan kesambungan yang dimulakan oleh Taman-Taman Sabah untuk meningkatkan kesalinghubungan ekologi antara Taman Kinabalu dekat sini dan Taman Banjaran Crocker di Tambunan.
Beliau berkata kawasan itu merangkumi kira-kira 21,000 hektar melibatkan 11 kampung dengan tumpuan untuk mewujudkan koridor habibat yang harmoni bagi penduduk, tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar. – BERNAMA