KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menerima makluman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung larangan bergambar di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi oleh jemaah haji dan umrah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, makluman rasmi itu disampaikan kepada TH melalui Bahagian Konsular Kementerian Luar Negeri di Arab Saudi.
“Larangan itu bagi memastikan ketenteraman beribadat, mengelakkan tindakan yang mencetuskan gangguan serta memelihara kesucian dua masjid suci tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, kata Johan, TH akan memaklumkan larangan itu kepada semua bakal haji semasa Kursus Asas Haji yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 2 Disember 2017.
Kata beliau, penerangan dan nasihat melalui laman media sosial akan turut dilakukan secara berkala kerana ia lebih cepat dan mudah.
“Jemaah haji Malaysia disarankan mematuhi segala peraturan semasa di Tanah Suci dan terus menjada nama baik negara,” katanya. -MYNEWSHUB.CC

