KUALA LUMPUR – Biarpun hanya tinggal satu pusingan sebelum menamatkan Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC), pelumba negara Azlan Shah Kamaruzaman yang beraksi dalam kategori SuperSports 600cc lebih selesa tampil sebagai pelumba ‘underdog’.
Menurut kenyataan daripada ARRC, Azlan tidak mahu dibebani dengan harapan menggunung untuk meraih gelaran juara keseluruhan pada aksi terakhir di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, hujung minggu ini.
Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu ketika ini menghuni tangga keempat keseluruhan dengan 128 mata, 10 mata di belakang pendahulu, Md Zaqhwan Zaidi dari Musashi Boon Siew Honda Racing.
“Saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada diri sendiri. Saya hanya memikirkan bagaimana untuk tampil terbaik ketika di litar dan bagaimana untuk memenangi perlumbaan.
“Tumpuan lebih diberikan kepada Zaqhwan kerana dia sedang mendahului kedudukan. Saya selesa tampil selaku pelumba ‘underdog’ dan menamatkan perlumbaan di atas podium,” kata juara 2013 itu dalam kenyataan media penganjur perlumbaan ARRC, Two Wheels Motor Racing.
Pada masa sama, Azlan dan rakan sepasukan, Ahmad Yudhistira dari Indonesia, turut mempunyai misi untuk membantu pasukan muncul juara keseluruhan setelah mendahului kedudukan ketika ini dengan 155 mata, sembilan mata mengatasi juara bertahan, Musashi Boon Siew Honda Racing yang berada di kedudukan kedua.
“Kiraan mata diambil daripada pelumba terbaik pasukan. Yudhistira ketika ini juga sedang bersaing untuk gelaran keseluruhan. Ini akan memberi kelebihan buat pasukan kerana tidak kira saya ataupun Yudhis pasti akan memungut seberapa banyak mata.
“Kami optimis untuk menamatkan dominasi pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing yang memegang gelaran pasukan terbaik selama lima tahun berturut-turut,” katanya.
Kali terakhir jentera Kawasaki memenangi gelaran adalah pada 2011 melalui Katsuaki Fujiwara sebelum penguasaan oleh Musashi Boon Siew Honda Racing. – BERNAMA