BAGAN SERAI – Kelab Kulaan Malaysia (KKM) meminta pihak bertanggungjawab supaya membaik pulih sebuah masjid lama di Masjid Tinggi di sini, yang dikenali Masigit Lawas sebagai tarikan pelancong untuk mengenali keunikan etnik Banjar di negara ini.
Pengerusi KKM, Ir Kamarullaffie Ahmad berkata Masigit Lawas diiiktiraf Jabatan Warisan Negara sebagai salah satu bangunan bersejarah di Kerian dan kini mengalami kerosakan di beberapa bahagian bumbung selain kayu dimakan anai-anai.
Beliau berkata masjid itu yang dibina pada 1890 pernah dijadikan lokasi sementara operasi Galeri Masyarakat Banjar pada 2011.
“Kekangan kewangan menyebabkan masjid itu yang diletakkan di bawah seliaan Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Athar yang terletak bersebelahannya tidak dapat dipulihkan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa membuat tinjauan di Masigit Lawas, hari ini.
Kamarullaffie berkata pihaknya mendapati bahagian bumbung masjid mengalami kebocoran sehingga menyebabkan permaidani di bahagian lantai kini rosak akibat ditakungi air hujan.
“Menara azan juga sudah reput dimakan anai-anai dan ia perlu dibaik pulih segera bagi mengelak masjid itu terus terbiar,” katanya.
Kamarullaffie berkata reka bentuk masjid yang mempunyai tiga lapisan bumbung adalah 100 peratus berpandukan seni bina masyarakat Banjar di Banjarmasin, Indonesia da ia dianggap sebagai satu keunikan.
Katanya Masigit Lawas dianggap satu-satunya bangunan bersejarah yang bercirikan peradaban masyarakat Banjar di negara ini, dan sememangnya menjadi kebanggaan etnik berkenaan di seluruh negara.
“Seni bina dan reka bentuk masjid yang unik dan sofistikated sememangnya mampu menjadi salah satu produk tarikan pelancong bagi membolehkan pengunjung lebih memahami adat kebudayaan masyarakat Banjar di Kerian,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Athar, Jamaludin Ashaari berkata sekurang-kurangnya RM700,000 diperlukan untuk kerja-kerja membaik pulih dan memulihara Masigit Lawas. – BERNAMA