KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa agar diadakan kerjasama Ahli Sunah Waljamaah di rantau Asia Tenggara bagi melindungi ummah daripada doktrin menyimpang yang mahu memecahbelahkan mereka.
Timbalan Perdana Menteri berkata ini penting untuk mengekang kelahiran dan penyebaran kumpulan pengganas baharu.
“Kita juga bertanggungjawab menjelaskan penyimpangan besar dalam idea, kaedah dan ekstremisme transendental bagi melindungi umat Islam di negara-negara ASEAN daripada bahayanya dan bergantung kepada Islam dengan menolak segala bentuk tuduhan, ekstremisme, keganasan dan prasangka yang ditujukan kepada Islam oleh media dan pihak-pihak lain,” katanya.
Ahmad Zahid berucap menutup Persidangan Ummah Khair 2017 (KUC2017), di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Agama Islam Arab Saudi Sheikh Saleh Abdul-Aziz Muhammad Al-Sheikh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi dan pendakwah Dr Zakir Naik.
Ahmad Zahid berkata cabaran utama dalam usaha ini ialah mengatasi persepsi pelbagai pihak berhubung Manhaj (kaedah) Ahli Sunah dengan menyalurkan maklumat Islam yang sebenar dan mendidik masyarakat untuk memahami dengan jelas ciri-ciri terbaik ummah.
Beliau berkata dalam mendepani cabaran yang dihadapi negara-negara Islam sekarang, persepsi dan kecurigaan antarabangsa terhadap agama Islam dan orang Islam harus diatasi terlebih dahulu sebelum menangani isu Islamofobia.
“Dalam perkara ini, kita tidak boleh bergerak sendirian. Kita mesti menangani isu ini secara bersama. Imej Islam mesti diangkat semula dan tragedi manusia berkaitan tanggapan salah tentang Islam mesti diperbetulkan,
“Kita perlu menjelaskan realiti agama Islam, ajarannya yang sederhana dan jalan sebenarnya. Kebaikannya, keadilan dan kesederhanaan Islam dalam sirah Nabi Muhammad serta para sahabatnya perlu diketengahkan,” kata beliau.
Merujuk kepada konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, peperangan di Syria dan Yaman, pembinasaan Iraq dan Afghanistan serta situasi yang menimpa rakyat Palestin, Ahmad Zahid berkata satu pendekatan yang sama amat diperlukan untuk menanganinya.
“Kita tidak boleh sekadar menyaksikan penderitaan mereka. Di ASEAN, penderitaan umat Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar turut menuntut penyelesaian segera dan kukuh sebelum keadaan menjadi tidak terkawal. Kami tidak pernah sesekali menentang kerajaan Myanmar. Mereka adalah kawan dalam ASEAN, tetapi mereka juga perlu menunjukkan keazaman untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.
Mengulas persidangan yang baru sahaja berakhir, Ahmad Zahid berkata ia merupakan platform yang amat penting bagi masyarakat serantau dan umat Islam amnya dalam menyokong usaha membangunkan ummah khair dan sebuah negara yang lebih baik untuk mengelakkan ekstremisme.
Beliau berkata KUC2017 yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama Islam Arab Saudi merupakan agenda utama kerajaan untuk membina sebuah negara yang sederhana, sejajar dengan al-Quran dan sunah.
“Kami harap semua pihak di sini dan rakyat ASEAN akan saling menyokong dan tidak membazirkan peluang keemasan ini untuk bertemu dan menjalin hubungan di antara ulama dari ASEAN dan negara-negara Arab, sekali gus membuka jalan untuk memperkukuh ikatan di antara mereka,” katanya.
Mesyuarat dua hari yang julung kali diadakan itu, seiring dengan wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikan konsep ummah khair atau ummah terbaik di negara ini.
Muktamar itu dianjurkan secara bersama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia; JASA, Pertubuhan Al-Khadeem Malaysia dan Pertubuhan Ilmuan Malaysia manakala Universiti Teknologi Mara pula berperanan sebagai penyelaras program.
Sebanyak 30 kertas penyelidikan dibentangkan pada KUC2017 yang menghimpukan lebih lebih 1,200 peserta dari beberapa negara termasuk Arab Saudi, Filipina, Thailand, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Laos.
Persidangan berakhir dengan menerima 12 resolusi utama sebagai hasil perbincangan. – BERNAMA

