PUTRAJAYA – Seramai 1,000 orang kurang upaya (OKU) dijangka mengunjungi Karnival Kerjaya Kemahiran dan Produk Inovasi OKU 2017 pada Jumaat ini di Hotel Aloft, Kuala Lumpur Sentral.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini berkata karnival yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu melibatkan penyertaan 25 majikan dan 30 pempamer produk latihan dan kemahiran.
Karnival yang akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Datuk Mohd Jeffrey Joakim bertujuan mempromosi peranan dan tanggungjawab KSM sebagai peneraju sokongan pekerjaan dan latihan kemahiran.
“KSM berharap program ini berjaya dan mendapat sambutan baik daripada semua pihak khususnya dengan kehadiran golongan OKU daripada pelbagai kategori dan umur yang akan didedahkan dengan peluang pekerjaan, latihan kemahiran bersesuaian dan produk-produk inovasi sokongan pekerjaan yang terkini,” katanya.
Sebarang maklumat mengenai karnival itu boleh didapati di portal www.mohr.gov.my atau menghubungi urus setia karnival di talian 03-8886 5143/5144/5145.
Menurut KSM, perkhidmatan kenderaan shuttle (kereta dan bas) turut disediakan dari bangunan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields berdekatan stesen Monorail Tun Sambanthan ke Hotel Aloft bermula 7.30 pagi sepanjang penganjuran karnival itu. – BERNAMA