CANBERRA – Menteri Keadilan Australia, Michael Keenan pada Rabu mengumumkan penubuhan satu kumpulan di Asia Tenggara bagi membanteras pembiayaan keganasan di rantau ini, lapor agensi berita China Xinhua.
Michael Keenan, yang juga Menteri yang Membantu Perdana Menteri Australia dalam isu Antikeganasan, mengumumkan penubuhan Kumpulan Kerja Membanteras Pembiayaan Keganasan Asia Tenggara (SEA CTFWG) ketika berucap pada Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Keganasan (CTF) di Kuala Lumpur pada Rabu.
Kumpulan itu akan dianggotai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang mengambil bahagian pada Sidang Kemuncak CTF termasuk Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina.
Pusat Analisis Laporan dan Transaksi Australia (AUSTRAC) serta Majlis Antipengubahan Wang Haram Filipina (AMLC) akan bersama-sama memimpin kumpulan itu.
Ia akan berfungsi untuk mengganggu pembiayaan keganasan dengan membanteras eksploitasi aset ekonomi dan orang awam, sekali gus mencegah kumpulan terbabit daripada menyediakan sokongan kepada kumpulan Daesh serta mencegah penggunaan sistem kewangan antarabangsa oleh pengganas.
“SEA CTFWG akan menyelaras perkongsian maklumat dalam kalangan unit risikan dan agensi serantau lain yang berperanan membanteras pembiayaan keganasan,” kata Keenan dalam satu siaran media pada Rabu.
“Secara kolektif, risikan yang dikumpul melalui inisiatif ini akan membantu pihak berkuasa serantau dan rakan industri untuk lebih memahami pergerakan dan pengesanan dana terbabit bagi melindungi komuniti serta memperketat sistem kewangan kita daripada ancaman pembiayaan keganasan.”
Penubuhan SEA CTFWG mewakili pelaburan pertama kerajaan Australia selama tiga tahun, dalam bentuk pakej US$3.4 juta bagi membantu AUSTRAC serta rakan kongsinya dalam perjuangan mereka untuk membanteras kumpulan Daesh dan pertubuhan ekstremis lain di Asia Tenggara. – BERNAMA