KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang akan berusaha menghidupkan kembali aktiviti ‘river cruise’ di Sungai Kuantan dengan diberikan nafas baharu, mengambil contoh dari beberapa negara tertentu termasuk Mesir.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata aktiviti itu suatu ketika dahulu pernah diadakan di kawasan itu, namun gagal menarik perhatian pengunjung dan pelancong menyebabkan ia terpaksa dihentikan.
“Kita akan cuba ikhtiar supaya river cruise di Sungai Kuantan ini dapat dihidupkan semula. Saya pernah menikmati pengalaman ini semasa lawatan ke Mesir dan kita dihidangkan pelbagai makanan serta hiburan ala Arab semasa di dalam bot.
“Kalau kita dapat lakukan sesuatu yang seperti ini mungkin ia dapat beri nafas baharu kepada river cruise di sungai ini. Yang penting sekali, tarikan yang ada di dalam bot dan kedai-kedai berhampiran disediakan untuk keperluan pelancong,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.
Adnan berkata demikian bagi menjawab soalan Rosli Abdul Jabar (PAS-Tanjung Lumpur) yang mahukan penjelasan sama ada kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan pesisiran Sungai Kuantan terutama di sekitar jambatan Tanjung Lumpur sebagai ‘river cruises’ yang menyediakan perkhidmatan house boat dan lain-lain.
Dalam masa yang sama, Adnan berkata kerajaan negeri juga sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak berkemampuan yang ingin menyediakan perkhidmatan itu bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata sejak Januari 2016 sehingga September 2017, seramai 8,069 usahawan muda dan desa dari Pahang telah mengikuti latihan serta kursus eUsahawan yang diadakan bagi memberi ilmu kepada usahawan belia serta usahawan mikro menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan.
Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak 2,855 peserta telah mula melaporkan jualan tambahan keseluruhan lebih RM5.2 juta hasil daripada ilmu dan teknik keusahawanan digital yang diajar termasuk dalam bidang pemasaran media sosial, perdagangan mudah alih, serta pengiklanan digital.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Choon Siew Onn (DAP-Tras) yang bertanyakan tentang langkah yang diambil oleh pihak kerajaan negeri dalam memajukan ekonomi digital yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 baru-baru ini. – BERNAMA